Read Time:1 Minute, 15 Second
BEAUFORT: Penganjuran semula Festival Bagandang berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat menerusi aktiviti pelancongan yang dapat menarik kehadiran pengunjung ke daerah Beaufort.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih berkata, festival berkenaan bukan sekadar platform memperkenalkan seni dan budaya masyarakat setempat, malah mempunyai potensi besar untuk merancakkan kegiatan ekonomi daerah itu.
Beliau berkata, potensi berkenaan menjadi antara pertimbangan utama usaha menghidupkan semula Festival Bagandang yang sebelum ini tidak dianjurkan selama hampir 10 tahun.

“Festival Bagandang ini sebenarnya mempunyai pelbagai peluang dan sumber bagi menjana pendapatan dan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival Bagandang Beaufort 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Hadir sama Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam dan Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Limus Jury.
Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias berkata, sektor pelancongan turut diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri sebagai antara penggerak utama pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.

Katanya, pemilihan 2027 sebagai Tahun Melawat Sabah juga membuka ruang kepada Beaufort untuk memperkenalkan keunikan budaya tempatan kepada lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat pelbagai etnik di Beaufort terus memberikan sokongan terhadap penganjuran Festival Bagandang supaya acara berkenaan dapat dikembangkan sebagai tarikan pelancongan yang berterusan.
Beliau yakin kerjasama semua pihak mampu menjadikan festival itu sebagai salah satu pemangkin ekonomi dan budaya Beaufort, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. – SABAH MEDIA





