Read Time:1 Minute, 56 Second
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan jenaka berunsur seksual membabitkan paderi dan biarawati Katolik pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sebagai tidak boleh diterima, tanpa mengira niat di sebaliknya.
Beliau berkata, agama dan tokoh agama mesti sentiasa dihormati demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini.
“Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama.
“Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara.
“Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya,” katanya.
Kenyataan itu menyusuli kontroversi ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said pada perhimpunan berkenaan yang mengandungi jenaka melibatkan paderi dan biarawati.
Dalam pada itu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut mendesak Noorazli supaya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa agama bukan perkara yang boleh dijadikan bahan jenaka.
“Bayangkan jika lawak paderi yang diungkapkan ini digantikan dengan imam dan orang Islam, maka pastinya kita juga akan marah.
“Jika kita marah apabila diperlakukan sebegitu, maka kita tidak seharusnya berbuat demikian kepada orang lain juga.
“Jadi, saya mendesak agar individu ini memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Muhamad Akmal turut menjelaskan bahawa jenaka berkenaan tidak menggambarkan pendirian UMNO, sebaliknya merupakan kenyataan peribadi Noorazli.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Tuaran yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli menyifatkan jenaka itu sebagai amat tidak wajar dan menyinggung perasaan.
“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya, menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” katanya.
Dalam pada itu, Noorazli tampil memohon maaf sekiranya kisah yang dikongsikannya ketika berucap pada PAU 2026 menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut Kristian.
Beliau menjelaskan, kisah berkenaan digunakan semata-mata sebagai analogi mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat, bukannya bertujuan menghina atau mempersendakan mana-mana agama dan kepercayaan.
“Saya menerima perkara ini sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati dalam memilih analogi dan menyampaikan sesuatu pandangan pada masa hadapan.
“Saya menghormati setiap agama dan kepercayaan serta sentiasa menjunjung keharmonian, sikap saling menghormati dan persefahaman yang menjadi asas penting kepada kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan.






