Read Time:1 Minute, 34 Second
MEMBAKUT: Pesta Ambuyat berpotensi diketengahkan sebagai antara produk tarikan pelancongan di daerah ini sempena kempen Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi usaha memperkenalkan keunikan warisan makanan dan kebudayaan masyarakat tempatan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan memperjuangkan cadangan agar pesta berkenaan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Membakut.
Katanya, penganjuran pesta itu akan dipertingkatkan pada tahun hadapan dengan menggabungkan beberapa program kebudayaan dan kesenian lain, termasuk Mahrajan yang berlangsung sebelum ini.

Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja mengetengahkan warisan masyarakat Brunei Sabah, malah turut membabitkan penyertaan etnik lain menerusi penganjuran pesta adat atau Pesta Begandang.
“Kita akan menambah baik mana yang perlu dan meningkatkan program seumpama ini. Sempena Melawat Sabah 2027, Pesta Ambuyat ini akan kita jadikan salah satu daya tarikan di kawasan ini.
“Kita juga akan satukan program ini dengan Mahrajan dan beberapa program lain yang melibatkan etnik berbeza di Membakut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada selepas menghadiri sambutan Pesta Ambuyat di Dewan Seri Wawasan Kg Pimping di sini, pada Ahad.
Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin.
Arifin yang juga Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) berkata, beberapa pengisian lain turut dirancang bagi memeriahkan program berkenaan, antaranya aktiviti sukan, larian pantai, bengkel khat serta seminar kesenian dan kesusasteraan.
Katanya, bengkel khat itu dirancang membabitkan penyertaan antarabangsa, manakala nadwah kesenian dan kesusasteraan turut disasarkan menjadi program bertaraf antarabangsa dengan penyertaan pembentang kertas kerja dari luar negara.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan akan diselaraskan oleh beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS); Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), PMBS, ABIM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.
Beliau berharap gabungan pelbagai program berkenaan dapat memperkukuh tarikan pelancongan Membakut, selain membantu usaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menjayakan Tahun Melawat Sabah 2027. – SABAH MEDIA





