Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pasar Besar Kota Kinabalu dicadang dipindah keluar dari pusat bandar

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu (KK) dari kawasan pusat bandar ke lokasi baharu yang lebih sesuai, selaras dengan usaha menyediakan kemudahan pasar yang lebih besar dan lengkap.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata cadangan berkenaan masih di peringkat awal dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri.

“DBKK akan menyediakan satu kertas kerja yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau dua tapak yang dicadangkan bagi pembangunan pasar baharu di Alam Mesra dan Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, pada Isnin.

Hajiji berkata, Pejabat Datuk Bandar Kota Kinabalu turut akan mengemukakan cadangan mengenai perancangan bagi tapak Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada sekiranya pemindahan pasar itu dilaksanakan.

“Sebab itu kita melawat tapak-tapak yang dicadangkan bagi Pasar Besar baharu ini, tetapi ia masih di peringkat awal.

“Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Hajiji meninjau tanah kerajaan negeri seluas kira-kira 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, yang dicadangkan sebagai tapak Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.

Beliau turut diberi taklimat mengenai cadangan pembangunan tapak berkenaan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Antara kemudahan yang dicadangkan di hab pasar bersepadu itu termasuk pasar kering, pasar basah, pusat produk kebudayaan, tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan.

Hajiji kemudian meninjau tapak kedua yang terletak di atas tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berhampiran Kampung Likas, di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, bersebelahan Anjung Selera.

Cadangan pemindahan itu dilihat dapat memberi ruang kepada pembangunan sebuah kompleks pasar yang lebih moden dan bersepadu, selain menyediakan kemudahan lebih lengkap untuk peniaga dan pengunjung.

Bagaimanapun, Hajiji berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad mengenai tapak yang akan dipilih mahupun nilai pembangunan pasar baharu berkenaan.

LEAVE A RESPONSE