Read Time:1 Minute, 13 Second
KOTA KINABALU: Seorang pemilik kedai didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menghalang meter daripada merekodkan penggunaan elektrik dengan sempurna sehingga menyebabkan Sabah Electricity Sdn Bhd mengalami kerugian.
Noralam, 40, diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh telah membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Noralam secara curang menghalang meter elektrik satu fasa milik Sabah Electricity daripada merekodkan dengan sempurna penggunaan elektrik dengan memasang kabel pintasan sepanjang 10 sentimeter di belakang terminal meter.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 9.45 pagi pada 23 Januari lalu di premis 19 Nineteen Mart, Kampung Kobusak, Penampang.
Perbuatan itu menyebabkan Sabah Electricity terkurang caj dan mengalami kerugian.
Noralam didakwa mengikut subseksyen 61(3)(e) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 61(3)(ii) enakmen sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan dilakukan pasukan operasi bersepadu terdiri daripada pegawai Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan juruteknik Sabah Electricity dalam operasi pencegahan kecurian elektrik di premis berkenaan.
Pemeriksaan mendapati akibat pengusikan meter berkenaan, Sabah Electricity mengalami kehilangan hasil bagi tempoh 23 Oktober 2024 hingga 22 Januari lalu dengan jumlah tuntutan kerugian sebanyak RM10,648.02.
Kabel pintasan dan meter berkenaan kemudian ditanggalkan dan disita oleh ECoS sebagai barang kes, manakala meter elektrik baharu dipasang di premis itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ECoS Andryeno Thomas, manakala peguam Azhier Farhan mewakili tertuduh.






