Read Time:2 Minute, 2 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sabah bertekad mahu merampas kembali gelaran juara keseluruhan pada temasya PARA Sukan Malaysia (PARA SUKMA) Selangor 2026 dengan meletakkan sasaran memburu 66 pingat emas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi konsisten atlet para negeri yang sentiasa berada dalam kelompok terbaik pada beberapa edisi temasya berkenaan.
Beliau berkata, kontinjen Sabah memiliki kekuatan dan pengalaman untuk kembali menguasai carta pungutan pingat selepas sekadar muncul naib juara pada edisi lalu di Sarawak.
“Untuk PARA SUKMA kali ini, kita mensasarkan 66 pingat emas. Saya melihat sasaran ini realistik dalam usaha kita untuk muncul semula sebagai juara keseluruhan.
“Kita mempunyai atlet yang berpotensi dan telah menjalani persiapan rapi bagi menghadapi cabaran di Selangor nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penyertaan Kontinjen Sabah ke SUKMA dan PARA SUKMA Selangor 2026 di Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.
Pada PARA SUKMA Sarawak 2024, Sabah menamatkan saingan di tempat kedua keseluruhan selepas mengutip 62 pingat emas, 42 perak dan 32 gangsa, manakala tuan rumah Sarawak muncul juara dengan 82 pingat emas.
Nizam berkata, sasaran 66 pingat emas kali ini diyakini mampu direalisasikan menerusi persediaan rapi yang dilakukan atlet serta barisan kejurulatihan.
Beliau berkata, pencapaian terbaik Sabah dalam sejarah penyertaan PARA SUKMA adalah pada edisi Kuala Lumpur 2022 apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan 54 pingat emas, 36 pingat perak dan 35 pingat gangsa.
Katanya, kejayaan bersejarah itu membuktikan atlet para Sabah mempunyai kemampuan untuk bersaing di peringkat tertinggi, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk mengulangi pencapaian tersebut di Selangor.
Bagi edisi 2026, Sabah akan menyertai kesemua 10 jenis sukan yang dipertandingkan iaitu Para Badminton, Boccia, Para Boling Padang, Para Catur, Para Memanah, Para Olahraga, Para Ping Pong, Powerlifting, Para Renang dan Para Tenpin Boling.
Kontinjen PARA SUKMA Sabah akan diwakili seramai 271 orang membabitkan 154 atlet dan 117 pegawai yang terdiri daripada pengurus pasukan, jurulatih serta urusetia.
Nizam berkata, jumlah pegawai yang lebih ramai adalah bagi memenuhi keperluan atlet para yang memerlukan bimbingan secara individu, termasuk atlet berkerusi roda serta atlet yang mengalami masalah penglihatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah atas komitmen berterusan dalam memperkasakan pembangunan sukan negeri serta memastikan penyertaan penuh kontinjen Sabah ke temasya berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua atlet dan pegawai supaya mengekalkan disiplin yang tinggi, mempamerkan semangat kesukanan serta berjuang bersungguh-sungguh bagi memastikan Sabah kembali menjulang gelaran juara keseluruhan PARA SUKMA Selangor 2026. – SABAH MEDIA






