Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah berpotensi jadi jambatan perkukuh kerjasama Malaysia-China

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Sabah berada pada kedudukan strategik untuk menjadi jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata hubungan Sabah dengan China merupakan sebahagian penting daripada kerjasama lebih luas antara Malaysia dan China, selain mempunyai sejarah hubungan yang telah terjalin sejak berabad-abad lalu.

Katanya, walaupun hubungan diplomatik rasmi Malaysia-China secara relatifnya masih baharu, hubungan antara Sabah dengan China sudah lama terbentuk menerusi laluan perdagangan maritim yang menghubungkan komuniti pesisir Borneo dengan selatan China dan kawasan lain di Asia Tenggara.

“Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat, sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna sehingga hari ini,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, pada Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di Magellan Sutera Resort, di sini malam tadi.

Hajiji berkata Sabah menawarkan platform kukuh bagi penglibatan antara perusahaan, institusi dan masyarakat China, berikutan kedudukan geografinya yang strategik, potensi ekonomi, kekayaan sumber semula jadi serta hubungan rakyat dengan rakyat yang telah lama terjalin.

Menurutnya, perdagangan dan pelaburan kekal menjadi tonggak utama hubungan Sabah-China, dengan China antara rakan dagang terpenting negeri ini.

“Kerjasama merangkumi komoditi, pertanian, perikanan, produk pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan.

“Syarikat-syarikat China yang beroperasi di Sabah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta hubungan perniagaan yang lebih kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah mempunyai peluang pelaburan yang besar untuk ditawarkan kepada pelabur China, khususnya dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian, perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru.

Katanya, terdapat juga ruang luas untuk Sabah dan China berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian, pemuliharaan marin, tenaga bersih, pertanian pintar dan akuakultur.

“Dengan menyelaraskan kekuatan ekonomi Sabah dengan kepakaran, keupayaan pelaburan dan kemampuan teknologi China, kita boleh mewujudkan hasil yang bermakna serta memberi manfaat bersama,” katanya.

Hajiji berkata pelancongan juga merupakan antara bidang kerjasama penting yang boleh terus dipertingkatkan menerusi pengukuhan kesalinghubungan udara, peluasan pemasaran digital serta pembangunan produk ekopelancongan, pelancongan budaya dan pelancongan pengembaraan.

Selain kerjasama ekonomi, katanya, potensi besar turut wujud dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

“Kerjasama boleh diperluaskan melalui perkongsian antara universiti, pertukaran pelajar, program bahasa, kerjasama penyelidikan, biasiswa, persembahan kebudayaan, aktiviti belia serta kerjasama dalam bidang sains dan teknologi.

“Pertukaran ini amat penting kerana ia memperdalam persefahaman bersama dan memupuk persahabatan dalam kalangan generasi akan datang,” katanya.

Menurut Hajiji, kekuatan hubungan dua hala bukan hanya bergantung kepada perdagangan dan pelaburan, tetapi turut diperkukuh menerusi hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Sabah kekal komited menyokong hubungan kukuh dan konstruktif antara Malaysia dan China, selaras dengan keutamaan pembangunan negeri di bawah agenda Sabah Maju Jaya 2.0.

“Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia-China,” katanya.

LEAVE A RESPONSE