Read Time:1 Minute, 11 Second
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan pukat jerut bilis yang disyaki melanggar syarat sah lesen dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kunak, semalam.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira 0.8 batu nautika timur laut Pulau Burong, Madai, Kunak, pada kira-kira jam 12.35 tengah hari.
Beliau berkata, bot terbabit dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan seperti ditetapkan dalam syarat lesen.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 42 tahun bersama tiga awak-awak warga Filipina berusia antara 21 hingga 41 tahun.

“Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, bot berkenaan kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut dan dibawa ke pangkalan Maritim Malaysia bagi tujuan siasatan.
Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan semua pengusaha serta nelayan mematuhi syarat lesen dan peraturan perikanan yang ditetapkan.

Katanya, pematuhan terhadap peraturan itu penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan selain menjamin keselamatan serta ketenteraman perairan negara.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999.






