Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

MPP UMS hargai keprihatinan dan usaha universiti tangani gangguan bekalan air di kampus


Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU  :  Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan dan usaha pihak pengurusan universiti dalam menangani isu gangguan bekalan air yang sedang melanda kampus.

Ketua Jabatan Kebajikan Mahasiswa MPP UMS, Mohamad Furkhan Abdullah berkata, ia termasuklah keputusan universiti untuk melaksanakan kuliah secara atas talian sepanjang tempoh gangguan. 

“Langkah ini dilihat sebagai satu strategi yang baik dalam mengurangkan penggunaan air di kampus tetapi pada masa yang sama tidak mengabaikan sesi akademik pelajar. 

“Ia secara langsung mengurangkan penggunaan air dan membantu mengurangkan impak kepada pelajar yang masih berada di dalam kampus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir turun padang bersama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor pada Selasa lalu.

Furkhan berkata, inisiatif Naib Canselor untuk melihat sendiri keadaan sebenar menunjukkan komitmen dan keprihatinan tinggi terhadap kebajikan pelajar.

“Lawatan turun padang ini memberi keyakinan kepada kami bahawa pihak universiti benar-benar serius dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu yang dihadapi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas pengumuman pemberian bekalan air mineral kepada semua pelajar di kolej kediaman. 

Menurutnya, inisiatif tersebut amat membantu pelajar dalam memenuhi keperluan asas harian, khususnya dalam situasi bekalan air yang terhad.

“Pemberian air mineral ini bukan sahaja meringankan beban pelajar, malah memberi jaminan bahawa kebajikan dan kesihatan mereka terus menjadi keutamaan pihak universiti,” katanya.

Selain itu, pengumuman mengenai peranan Dapur Siswa sepanjang tempoh gangguan bekalan air turut disambut baik oleh pelajar. 

Inisiatif tersebut katanya, memastikan pelajar yang terjejas terus mendapat akses kepada makanan yang mencukupi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengalaman turun padang bersama Naib Canselor ke lokasi tangki R13 milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membuka gambaran sebenar situasi semasa.

“Kami melihat sendiri paras air di tangki tersebut berada pada tahap yang sangat rendah, sekali gus menjelaskan punca gangguan yang berlaku di kawasan kampus dan sekitarnya,” ujar Furkhan.

Sehubungan itu, MPP menyeru seluruh warga kampus untuk terus mendoakan agar segala usaha dan kerja-kerja pemulihan bekalan air dipermudahkan dan gangguan bekalan dapat ditangani segera.

LEAVE A RESPONSE