Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Remaja warga asing didakwa rogol warga emas

Read Time:1 Minute, 10 Second

SANDAKAN: Seorang remaja warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang wanita warga emas berusia 61 tahun pada Mac lalu.

Tertuduh, Alimanja Arioski, 19, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Batu 7, di sini, pada 21 Mac lalu, kira-kira jam 1.30 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Alimanja.

Hakim Roslinda Razali menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jasmin Walter, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kelmarin, Alimanja dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa merompak mangsa.

Hakim yang sama turut memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 21 Mac lalu serta memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memasuki rumah mangsa melalui tingkap tanpa kebenaran. Tertuduh telah mengugut mangsa dengan menggunakan objek dipercayai gunting serta meminta wang dan barang kemas milik mangsa.

Tertuduh kemudiannya telah bertindak ganas dengan mencekik leher mangsa dan menumbuk mangsa di bahagian muka sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa semasa melakukan rompakan.

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

LEAVE A RESPONSE