KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menyimpan sebuah telefon bimbit curi.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Adzuawanan, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah pada Jumaat lepas.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menyimpan sebuah telefon bimbit curi di sebuah bilik sewa di Jalan Sinsuran, di sini, pada 27 Oktober lalu.
Dia didakwa dibawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh tangkapannya.
Mahkamah turut memerintahkan telefon bimbit yang menjadi barang kes dipulangkan kepada pemiliknya yang sah.
Tertuduh diwakili peguam Carmen Khoo daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), manakala pendakwaan dikendalikan Inspektor Deanivo Sittin.





