Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Gol minit akhir Enzi bantu Sabah FA pertahan kejuaraan LWN 2026

Read Time:4 Minute, 4 Second

KUALA LUMPUR: Sabah FA mempertahankan kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) 2026 selepas menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.

Penyerang import dari Amerika Syarikat, Enzi Hekima Starks Broussard muncul wira Sabah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-89, sekali gus membantu skuad kendalian Bobby Gonzales merangkul gelaran LWN buat kali ketiga selepas turut muncul juara pada edisi 2023 dan 2025.

Sabah yang menguasai babak pertama hampir membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Enzi pada minit ke-21, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Nurdiana Syafiqah Mohd Rostam.

Nurdiana Syafiqah sekali lagi bertindak cemerlang apabila menafikan percubaan jarak dekat pemain pertahanan Sabah, Juliana Barek pada minit ke-38 untuk memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Selangor meningkatkan tempo permainan dan hampir memecah kebuntuan menerusi pemain gantian Yeo Menji pada minit ke-69, namun percubaannya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Sabah.

Ketika perlawanan semakin menghampiri masa tambahan, Enzi muncul pemecah kebuntuan apabila rembatan jarak jauhnya pada minit ke-89 gagal ditangkap kemas Nurdiana Syafiqah, sekali gus memastikan kemenangan dan kejuaraan buat Sabah.

Kejayaan itu turut membolehkan Sabah FA sekali lagi mewakili Malaysia ke pentas AFC Women’s Champions League (AWCL) musim depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah, Muhd Arziz Afizy, berkata kejayaan mempertahankan kejuaraan itu adalah hasil perancangan jangka panjang serta komitmen semua pihak yang terlibat dengan pasukan.

Menurutnya, gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu, selain bimbingan barisan kejurulatihan, menjadi antara faktor utama yang membolehkan Sabah terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam LWN.

“Alhamdulillah, hari ini kita sekali lagi dinobatkan sebagai juara Liga Wanita Nasional dan ini hasil usaha daripada semua pihak, terutama pemain-pemain wanita Sabah yang telah berusaha selama ini.

“Terima kasih juga kepada semua jurulatih yang telah melatih pemain-pemain kita sehingga kita boleh mengekalkan kejuaraan LWN 2026,” katanya.

Mengulas mengenai faktor kejayaan Sabah, Muhd Arziz berkata pasukan itu dibangunkan menerusi perancangan jangka panjang dengan menekankan aspek pembangunan pemain dan kualiti kejurulatihan.

Katanya, pendekatan menggabungkan pemain berpengalaman dengan pemain baharu turut membantu membentuk pasukan yang lebih kompetitif.

“Perancangan kita adalah perancangan jangka masa panjang. Kita berada di kedudukan sekarang apabila kali ketiga menjadi juara dan ini adalah hasil daripada perancangan, bimbingan jurulatih serta kualiti pemain yang kita ada.

“Kita gabungkan pemain lama dan pemain baharu dan sehingga hari ini kita masih boleh menjadi juara sekali lagi,” katanya.

Mengulas mengenai misi di pentas Asia musim depan, Muhd Arziz berkata Sabah akan menggunakan pengalaman dua penampilan terdahulu untuk memperbaiki kelemahan pasukan dan memburu kemajuan lebih baik dalam AWCL.

“Tahun hadapan kita sekali lagi mewakili Malaysia ke peringkat AWCL dan ini adalah kali ketiga.

“Kita mempunyai pengalaman dua tahun sebelum ini. Pada tahun pertama kita layak ke peringkat kumpulan, manakala tahun lalu kita tidak layak selepas tewas kepada pasukan dari Bengal.

“Kita mengharapkan pada 2027 kita cuba sedaya upaya untuk layak ke peringkat kumpulan AWCL dengan pengalaman yang ada bagi memperbaiki kelemahan kita,” katanya.

Sementara itu, Bobby menyifatkan semangat juang tinggi pemain menjadi antara faktor utama kejayaan Sabah mempertahankan kejuaraan.

Katanya, pemain Sabah berjuang sepanjang 90 minit dan tidak pernah berputus asa sehingga berjaya mendapatkan gol kemenangan pada penghujung perlawanan.

“Alhamdulillah, kita berjaya mengekalkan kejuaraan untuk kali kedua dan saya sangat bangga dengan semua pemain saya di atas padang.

“Mereka berjuang sehabis-habisan daripada awal perlawanan sehingga tamat dan dengan semangat juang yang tidak pernah padam, mereka layak untuk menang malam ini,” katanya.

Bobby berkata semangat berpasukan menjadi kunci utama kejayaan Sabah sepanjang musim ini, selain menyifatkan rekod tanpa kekalahan sebagai sesuatu yang positif buat pasukan.

“Teamwork. Itulah semangat pasukan dan itu salah satu kunci untuk pasukan kita berjaya pada tahun ini.

“Saya rasa dalam tahun ini kita tidak pernah kalah lagi dan ini adalah salah satu perkara yang baik untuk pasukan,” katanya.

Bobby yang turut dinobatkan sebagai jurulatih terbaik untuk tahun kedua berturut-turut berkata pengiktirafan itu tidak akan dicapai tanpa sokongan barisan kejurulatihan dan pemain.

“Saya amat berterima kasih kepada semua coaching staff dan semua pemain kerana mereka cukup menyokong dan sangat membantu dalam membimbing saya,” katanya.

Mengenai misi Sabah pada kempen AWCL musim depan, Bobby berkata sekiranya beliau dikekalkan sebagai ketua jurulatih, beliau akan berusaha memperbaiki kelemahan pasukan berdasarkan pengalaman yang dilalui musim ini.

“Kalau saya masih diteruskan, kita akan cuba memperbaiki apa yang kita lalui tahun ini untuk cuba layak ke pusingan 12 terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Arziz merakamkan penghargaan kepada Presiden dan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Ahli Majlis Tertinggi SAFA, penaja utama serta Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan berterusan terhadap pasukan bola sepak wanita.

Beliau turut memberi penghargaan kepada barisan kejurulatihan, pengurus pasukan serta semua pemain yang terus berusaha memburu kemenangan.

Muhd Arziz turut memuji Selangor FC yang memberikan saingan sengit dalam aksi final dan menyifatkan pasukan itu memiliki barisan pemain muda berkualiti, termasuk pemain yang mewakili negara. – SABAH MEDIA / FOTO FAM

LEAVE A RESPONSE