Read Time:2 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Institut Marin Borneo (IMB) menjalinkan kerjasama dengan Keningau Palm Oil Mill (KPOM) bagi mempergiat penyelidikan dan inovasi dalam pembangunan produk mampan berasaskan sisa pemprosesan kelapa sawit.
Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian penyelidikan yang ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, bagi pihak UMS, manakala KPOM diwakili pengarahnya, Yap Kim Hui.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka potensi menghasilkan bioproduk dan minyak daripada gentian sisa kelapa sawit (palm fibre) menggunakan kaedah ekstraksi pelarut.
Ekstrak berkenaan dijangka berpotensi dijadikan bahan mentah alternatif berkualiti tinggi dalam formulasi makanan ikan, sekali gus mengurangkan sisa pemprosesan kelapa sawit yang dibuang di kilang.
Inisiatif itu turut menyasarkan usaha mengurangkan kebergantungan industri akuakultur terhadap tepung ikan (fish meal) dan minyak ikan komersial yang semakin mahal serta bergantung kepada sumber tangkapan laut.

Melalui penukaran sisa kelapa sawit kepada bahan makanan ikan, projek berkenaan dijangka dapat menyokong kelestarian ekosistem penternakan ikan air tawar tempatan selain meningkatkan keterjaminan makanan dalam industri perikanan.
Rosalam berkata, kehadiran delegasi pengurusan KPOM ke UMS amat dihargai kerana kerjasama itu membuka ruang untuk meneroka potensi bioproduk yang diekstrak daripada gentian sisa kelapa sawit sebagai alternatif baharu dalam penghasilan makanan ikan.
Katanya, hasil penyelidikan awal menunjukkan potensi pengekstrakan bioproduk daripada gentian sisa kelapa sawit adalah antara tujuh hingga 10 peratus.
“Apa yang kita harapkan menerusi kolaborasi masa hadapan ini adalah untuk mengkaji secara mendalam sifat minyak tersebut bagi memastikan kesesuaiannya sebagai bahan makanan ikan.
“Walaupun terdapat cabaran besar dari segi kebolehpasaran produk baharu di pasaran, usaha ini amat penting dalam menyokong keseluruhan ekosistem industri perikanan tempatan,” katanya.
Sementara itu, Yap Kim Hung yang juga pengarah KPOM berkata, kerjasama antara pihak akademik dan industri secara berperingkat mampu menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, khususnya dalam pengurusan kira-kira 10,000 tan sisa pemprosesan kilang.
Katanya, KPOM yang turut terbabit dalam aktiviti penternakan ikan air tawar, termasuk ikan tilapia, menyasarkan pengeluaran sehingga 20 tan dan berharap sisa pemprosesan berkenaan dapat dimanfaatkan sebagai sumber makanan ternakan.
“Pihak kami amat berhasrat memanfaatkan sisa pemprosesan ini sebagai sumber makanan ternakan.
“Sebagai antara perintis industri penternakan ikan air tawar, adalah satu penghormatan bagi pihak KPOM dapat bekerjasama secara rasmi dengan pakar-pakar profesional dari UMS bagi merealisasikan projek ini,” katanya.
Dekan IMB UMS, Prof. Madya Dr. Ching Fui Fui berkata, projek itu akan memanfaatkan kepakaran saintifik institut berkenaan untuk menukarkan sisa pemprosesan kelapa sawit kepada bahan alternatif bagi menggantikan tepung dan minyak ikan yang semakin mahal.
Katanya, pendekatan inovatif itu juga berpotensi mengurangkan kebergantungan industri akuakultur terhadap sumber hasil tangkapan laut.
Projek penyelidikan strategik yang diketuai pensyarah kanan IMB, Ts. Dr. Muhammad Dawood Shah itu akan diteruskan ke fasa ujian pemakanan ikan bagi menilai keberkesanan serta kesesuaian bioproduk berkenaan sebelum dikomersialkan pada harga yang bersesuaian.





