Read Time:1 Minute, 40 Second
KOTA KINABALU: Kejayaan merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada kekuatan, komitmen dan keupayaan seluruh penjawat awam untuk bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun, saling melengkapi serta berkongsi tanggungjawab terhadap matlamat yang sama.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata semangat itu menjadi teras Hala Tuju SMJ 2.0 kerana kejayaan sesebuah kerajaan tidak hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau pelan yang dirangka, sebaliknya sejauh mana dasar berkenaan berjaya mengubah kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata, budaya bekerja secara berasingan atau silo mentality perlu ditinggalkan dan digantikan dengan budaya kolaboratif yang menjadikan setiap kementerian, jabatan dan agensi sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara.
“Kerjasama strategik perlu diperkukuhkan antara kementerian dan agensi di peringkat negeri dan Persekutuan, di samping memperluaskan sinergi bersama sektor swasta, akademia serta komuniti bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak.
“Pada masa sama, komunikasi strategik perlu diperkasakan melalui pelaporan prestasi yang telus, penggunaan dashboard pemantauan serta perkongsian data yang berkesan bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif dapat dipantau, dinilai dan ditambah baik secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Selasa.
Zainudin berkata, dunia hari ini amat berbeza berbanding sedekad lalu apabila kemajuan teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (Al), berkembang begitu pesat dan mengubah landskap dunia, termasuk dalam pelaksanaan tugasan harian sektor awam.
“Justeru, SMJ 2.0 mengiktiraf pendigitalan dan Al sebagai pemboleh daya strategik yang akan memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti serta mentransformasikan cara kita merancang, membuat keputusan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian SMJ 1.0 membuktikan bahawa apabila dasar yang jelas disokong oleh pelaksanaan yang berkesan, hasilnya mampu memberi manfaat yang nyata kepada negeri dan rakyat.
“Bagi SMJ 2.0, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan dinilai bukan dari segi mutu pelaporan tetapi sejauh mana ia memberi impak kepada kesejahteraan rakyat Negeri Sabah,” katanya.






