Read Time:2 Minute, 6 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Bahasa ibunda berisiko hilang ditelan zaman jika tidak lagi didengar dan dituturkan dalam kehidupan seharian, terutama di rumah.
Bagi Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, risiko itu dekat dengan pengalamannya sendiri apabila ketika kecil beliau berada dalam persekitaran tanpa penutur bahasa ibundanya.
“Semua bahasa mempunyai risiko untuk hilang ditelan zaman. Kalau dibiarkan begitu saja, kalau tidak dibuat apa-apa, tidak disuarakan, tidak ditulis, lebih-lebih lagi jika ibu bapa tidak bertutur dalam bahasa masing-masing di rumah.
“Kerana kalau tiada yang didengar, tiadalah yang masuk dalam kepala, tiada yang disimpan dalam hati dan tiada yang dapat dikeluarkan dalam tulisan,” katanya.
Beliau ditemui selepas melancarkan Borneo Cultural & Heritage Corner (BCHC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 serta 25 tajuk buku kanak-kanak dalam bahasa Kadazandusun di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Mengimbas pengalamannya ketika berusia 10 tahun, Pairin berkata beliau ketika itu berpisah dengan ibu bapanya dan tinggal di asrama Holy Trinity School, Tawau, dengan kira-kira 90 peratus penghuni asrama bertutur dalam bahasa Hakka.
“Jadi, hari-hari saya dengar bahasa Hakka. Akhirnya, saya pandai bertutur dalam bahasa Hakka. Tetapi kerana tiada orang di sisi saya bercakap dalam bahasa ibunda saya, sikit lagi lupa saya punya bahasa sendiri,” katanya.
Selepas kembali ke kampung, terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan serta berkunjung ke daerah lain, Pairin kembali mendengar bahasa yang dituturkan di tempat berkenaan dan sedikit demi sedikit penguasaannya bertambah.
Kini, katanya, beliau boleh bertutur bahasa Tambunan dan Penampang, selain sedikit bahasa Lotud dan Murut.
Selain pertuturan, Pairin melihat penulisan dan penerbitan sebagai antara usaha yang dapat membantu bahasa ibunda terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
Ketika ditanya sama ada penerbitan buku kanak-kanak dapat membantu kelangsungan bahasa, beliau berkata: “Saya fikir itu memang akan membantu.”
Pada masa sama, Pairin berkata kesedaran terhadap bahasa ibunda sudah mulai bertambah, termasuk melalui penulisan, penerbitan dan pendidikan.
“Saya fikir kesedaran kita sudah mulai bertambah. Jadi, oleh sebab itu, bahasa kita sudah mulai ditulis, sudah mulai diterbitkan, dan sudah mulai dimuatkan dalam kurikulum sekolah,” katanya.
Namun, katanya, asas kepada kelangsungan bahasa ibunda tetap bermula di rumah.
“Bahasa harus dituturkan di rumah sebagai sekolah pertama,” katanya.
Pada majlis sama, Pairin turut melancarkan 25 tajuk buku kanak-kanak dalam Bahasa Kadazandusun, hasil kerjasama Jabatan Bahasa Kadazandusun, IPG Kampus Kent, Tuaran dan Kadazandusun Language Foundation (KLF), dengan penglibatan pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun serta bimbingan para pensyarah.
Pairin berharap penerbitan 25 tajuk berkenaan bukan suatu noktah, sebaliknya menjadi permulaan kepada gerakan lebih besar.






