Read Time:1 Minute, 53 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: HASiL akan memperkasakan penggunaan jenama korporat ‘HASiL’ dalam komunikasi dan penulisan media sebagai pendekatan yang lebih mesra kepada pembayar cukai.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, berkata penggunaan nama HASiL akan dipertingkatkan secara berterusan, selaras dengan sambutan ulang tahun ke-30 HASiL tahun ini.
Beliau berkata HASiL sebelum ini lebih dikenali melalui nama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, namun penggunaan jenama ‘HASiL’ kini diberi penekanan lebih meluas.
“Bila kita ataupun rakan-rakan di HASiL memperkenalkan diri, mereka mula memperkenalkan diri sebagai HASiL, bukan lagi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
“HASiL ini diharap lebih mesra kepada pembayar cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan pada Majlis Apresiasi HASiL Bersama Media Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Jumaat.
Abu Tariq turut berharap pengamal media menggunakan nama HASiL dalam penulisan masing-masing bagi membantu memperkenalkan identiti korporat berkenaan kepada masyarakat.
Katanya, walaupun penggunaan HASiL telah dilaksanakan sebelum ini, penekanan terhadap jenama tersebut dipertingkatkan sempena ulang tahun ke-30 HASiL.
Dalam pada itu, beliau berkata HASiL akan melancarkan Bulan HASiL pada Oktober ini di seluruh negara dengan tema ‘Lapor Sukarela Tanggungjawab Bersama’.
Menurutnya, Bulan HASiL akan memberi ruang kepada pegawai HASiL untuk turun padang dan bertemu pembayar cukai di pusat beli-belah, sekolah, universiti serta lokasi strategik lain.
Katanya, antara fokus utama Bulan HASiL ialah menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela membabitkan e-Invois, duti setem dan pelaporan cukai pendapatan.
“Kalau ada pengakuan sukarela untuk hantar cukai, mereka mendapat kadar penalti yang lebih rendah. Kalau kena audit dan kena siasat, penalti lebih tinggi, tetapi kalau datang secara sukarela untuk betulkan, mereka akan mendapat kadar penalti yang lebih rendah,” katanya.
Selain itu, Abu Tariq berkata HASiL turut memberi fokus kepada promosi e-Pelarian sebagai saluran untuk orang awam menyalurkan maklumat berkaitan individu atau syarikat yang disyaki tidak mematuhi undang-undang percukaian.
Katanya, langkah itu selaras dengan tema Bulan HASiL yang menekankan pembayaran cukai sebagai tanggungjawab bersama.
Beliau berharap pengamal media terus membantu HASiL menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif percukaian kepada masyarakat, khususnya pembayar cukai di Sabah.
Abu Tariq turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang hadir pada majlis berkenaan serta berharap hubungan erat antara HASiL dan media dapat diteruskan demi kepentingan bersama dan negara. – SABAH MEDIA






