Read Time:1 Minute, 44 Second
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memuji inisiatif Sabah Kinabalu Pink Ribbon (SKPR) menubuhkan The Pink Haven, sebuah pusat sokongan bagi membantu pesakit kanser payudara dan penjaga mereka sepanjang menjalani rawatan.
Beliau berkata, kewujudan pusat berkenaan amat bermakna khususnya kepada pesakit dari kawasan luar bandar dan daerah lain di Sabah yang terpaksa datang ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, perjalanan mendapatkan rawatan bukan sahaja memenatkan dari segi fizikal, malah memberi tekanan emosi dan beban kewangan kepada pesakit serta keluarga yang terpaksa berjauhan dari rumah.
“Bagi pesakit dan penjaga yang berdepan ketidaktentuan akibat diagnosis kanser, The Pink Haven menjadi rumah kedua yang menawarkan keselesaan, menjaga maruah pesakit serta memberi keyakinan bahawa mereka tidak perlu melalui perjalanan ini bersendirian.
“Lebih daripada sekadar sebuah bangunan, pusat ini membantu meringankan beban pesakit yang terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal pada majlis perasmian The Pink Haven milik SKPR di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf kepentingan inisiatif seumpama itu, termasuk kerjasama dengan institusi kesihatan, pertubuhan masyarakat, penyumbang dan sukarelawan dalam membantu golongan yang terjejas akibat kanser.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kerana peruntukan RM300,000 yang diluluskannya dua tahun lalu berjaya membantu merealisasikan pengoperasian pusat berkenaan.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 2010, SKPR memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, menyediakan sokongan kepada pesakit dan bekas pesakit serta membantu keluarga dan masyarakat memahami kepentingan sokongan terhadap golongan berkenaan.
“Dengan penubuhan The Pink Haven, SKPR melangkah setapak lagi dalam usahanya apabila keprihatinan diterjemahkan kepada bantuan yang lebih praktikal,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Penaung dan Pengasas SKPR, Datin Lucilla Pang, yang pengalaman peribadinya sebagai bekas pesakit kanser payudara menjadi inspirasi kepada penubuhan persatuan itu.
Beliau berharap kerjasama antara kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, pertubuhan masyarakat, sektor perniagaan dan orang awam dapat terus diperkukuh bagi memastikan pesakit kanser bukan sahaja mendapat rawatan perubatan, tetapi turut menerima sokongan praktikal dan emosi yang diperlukan.
“The Pink Haven diharap terus menjadi tempat yang menawarkan harapan, pemulihan dan sokongan berterusan kepada pesakit serta keluarga mereka,” katanya.





