Read Time:1 Minute, 16 Second
KOTA KINABALU: Hospital Lahad Datu akan menerima tambahan lima Pegawai Perubatan mulai Julai ini dalam usaha memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan dan memastikan operasi hospital terus berjalan lancar.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, penempatan tersebut melibatkan tiga Pegawai Perubatan tetap dan dua Pegawai Perubatan secara sementara bagi membantu mengatasi kekurangan tenaga kerja yang sedang dihadapi hospital berkenaan.
Menurut kenyataan itu, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi segera yang dilaksanakan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan serta keselamatan pesakit di Lahad Datu terus terpelihara.
“Kesemua pegawai berkenaan dijadualkan memulakan tugas secara rasmi bermula Julai 2026,” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.
JKNS menjelaskan bahawa penambahan pegawai berkenaan dijangka membantu memperkukuhkan kapasiti perkhidmatan di Hospital Lahad Datu, khususnya dalam memastikan perkhidmatan klinikal dan rawatan kepada pesakit dapat diteruskan tanpa gangguan.
Selain penempatan pegawai baharu, jabatan itu turut melaksanakan pendekatan mobilisasi Pegawai Perubatan menerusi kerjasama antara hospital dalam kluster kesihatan Sabah.
Pendekatan tersebut melibatkan bantuan daripada hospital di bawah Hospital Kluster Kota Kinabalu dan Hospital Kluster Tawau bagi menampung keperluan tenaga kerja semasa di Hospital Lahad Datu.
JKNS turut memaklumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada fasiliti kesihatan yang berdepan kekurangan kritikal dalam agihan Pegawai Perubatan kontrak pada pengambilan akan datang.
Pada masa sama, usaha memperkasakan kawalan perpindahan keluar Pegawai Perubatan akan diteruskan bagi menjamin kestabilan tenaga kerja dan kelangsungan perkhidmatan kepakaran di fasiliti kesihatan seluruh negeri.
Menurut JKNS, kebajikan pesakit serta kelancaran operasi hospital kekal menjadi keutamaan utama jabatan itu dalam memastikan masyarakat Sabah menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan berkesan.






