Read Time:1 Minute, 29 Second
PENAMPANG: Maxis terus memperkukuh hubungan dengan komuniti di Sabah menerusi pelbagai inisiatif berteraskan masyarakat yang dilaksanakan sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini.
Pengarah Pengurusan Jualan Wilayah Sabah Maxis, Melvin Yap, berkata syarikat itu komited untuk sentiasa mendekati rakyat di negeri ini dan memastikan setiap usaha yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.
Beliau berkata, peranan Maxis kini melangkaui fungsi sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi, sebaliknya turut berperanan sebagai rakan komuniti yang sentiasa bersama masyarakat dalam setiap acara dan sambutan penting.

“Kami mahu berada dekat dengan komuniti. Kami mahu bekerjasama rapat dengan masyarakat dan memastikan Maxis sentiasa bersama rakyat Sabah,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena pelancaran Kempen Kaamatan 2026 Pusat Maxis di ITCC Penampang di sini.
Pelancaran kempen itu disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Caesar Mandela Malakun.
Melvin berkata, melalui kempen tersebut, Maxis akan turun padang ke pelbagai daerah di Sabah termasuk Paitan bagi mendekati lebih ramai pelanggan dan masyarakat.
Katanya, pendekatan itu membuktikan komitmen syarikat untuk memastikan manfaat serta promosi yang ditawarkan dapat dinikmati oleh komuniti di bandar mahupun luar bandar.

“Kempen ini berlangsung sepanjang bulan dan kami akan berada di beberapa lokasi di seluruh Sabah untuk lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.
Selain promosi istimewa, Maxis turut menyediakan pelbagai aktiviti interaktif di booth syarikat di perkarangan Dewan Hongkod Koisaan bermula 18 hingga 31 Mei ini.
Menurut beliau, program seperti itu memberi peluang kepada syarikat untuk berinteraksi secara langsung dengan pelanggan, memahami keperluan mereka dan memperkukuh hubungan yang telah terjalin sejak sekian lama.
Melvin turut merakamkan penghargaan kepada pihak Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) atas kerjasama yang disifatkannya amat penting dalam menjayakan kempen tersebut.
Katanya, Maxis akan terus memperkenalkan pendekatan yang lebih inovatif dan bermakna bagi memastikan syarikat itu kekal relevan serta menjadi sebahagian daripada komuniti Sabah untuk jangka masa panjang. – SABAH MEDIA






