Read Time:1 Minute, 41 Second
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik sokongan berterusan Kerajaan Jepun terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini menerusi sumbangan sebuah van mesra kerusi roda kepada Sabah Cheshire Home and Services.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, kenderaan khas itu disumbangkan melalui Program Bantuan Geran Projek Keselamatan Manusia Peringkat Akar Umbi (GGP) Jepun bagi meningkatkan mobiliti serta akses penghuni pusat berkenaan di Sandakan.
Beliau berkata, van yang dilengkapi kemudahan lif kerusi roda itu akan memudahkan golongan OKU mendapatkan perkhidmatan kesihatan, mengikuti program pemulihan, pendidikan serta menyertai aktiviti komuniti dengan lebih selamat dan selesa.
“Kemudahan di Sandakan sebelum ini menggunakan van yang telah berusia lebih 25 tahun dan amat memerlukan penggantian segera.

“Sumbangan ini bukan sekadar mengenai pengangkutan, tetapi mengenai maruah, kebebasan dan memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk turut serta secara penuh dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan rasmi van tersebut di Sabah Cheshire Home and Services, pada Khamis.
Julita berkata, isu aksesibiliti masih menjadi antara cabaran utama yang dihadapi ramai OKU, khususnya dalam mendapatkan perkhidmatan penting serta menyertai program komuniti.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun serta Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu atas sokongan berterusan terhadap pelbagai inisiatif kebajikan di Sabah.
“Ini merupakan sumbangan kenderaan yang ketiga daripada Kerajaan Jepun kepada Sabah Cheshire Home and Services, mencerminkan hubungan persahabatan dan kerjasama kemanusiaan yang kukuh antara Sabah dan Jepun,” katanya.

Sumbangan terbaharu bernilai kira-kira RM251,890 itu dipercayai merupakan satu-satunya van mesra OKU dengan sistem lif kerusi roda yang digunakan di Sandakan ketika ini.
Julita turut memuji Sabah Cheshire Home and Services atas komitmen berterusan dalam menyokong golongan OKU melalui penjagaan kediaman, sokongan pendidikan, latihan kemahiran serta program kehidupan berdikari.
Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kebajikan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.
Pada masa sama, katanya, kementerian terbuka untuk meneroka peluang kerjasama baharu bersama Sabah Cheshire Home and Services bagi memperkukuh lagi perkhidmatan kebajikan kepada golongan rentan termasuk warga emas dan OKU.






