Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerajaan Negeri terus sokong pembangunan bahasa dan sastera Sabah

Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan terus memberikan dorongan, sokongan dan peruntukan bagi memperkasa pembangunan bahasa serta sastera di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, komitmen itu termasuk kerjasama berterusan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha mengangkat martabat bahasa, sastera, penulis dan sasterawan Sabah.

Katanya, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan setiap tahun bagi membantu persatuan berkaitan melaksanakan pelbagai program pembangunan bahasa dan sastera.

Arifin ketika ditemui media

“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan dorongan, sokongan dan termasuklah dana untuk pembangunan bahasa dan sastera di Sabah.

“Setiap tahun kita menyediakan peruntukan untuk membantu persatuan-persatuan dalam melaksanakan program mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Malam Anugerah Pena Kinabalu (MAPENA) di sini.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program Sumbangsih Bahasa dan Sastera Sabah (SELASIH) yang menyediakan peruntukan Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program berkaitan bahasa dan sastera.

“SELASIH ini ialah peruntukan untuk melaksanakan program yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Persembahan pentas daripada pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya.

Dalam pada itu, Arifin berkata, Kerajaan Negeri turut memberikan sokongan terhadap pelbagai kegiatan sastera, termasuk Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang dianjurkan di Membakut sejak lebih 15 tahun lalu.

Katanya, program berkenaan kini diambil alih kerajaan sebagai acara rasmi dan menjadi wadah untuk menghubungkan silaturahim melalui bahasa serta sastera dalam kalangan penggiat bidang berkenaan dari negara-negara ASEAN.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan peruntukan khas untuk program Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara,” katanya.

Mengulas penganjuran MAPENA, Arifin turut merakamkan syabas dan tahniah kepada DBP atas usaha berterusan dalam memartabatkan bahasa dan sastera di Sabah.

Pada majlis berkenaan turut diadakan Penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2024/2025, sebagai pengiktirafan terhadap karya dan sumbangan penggiat sastera negeri ini.

Kemuncak majlis menyaksikan Datuk Jamdin Buyong menerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ke-5 yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

LEAVE A RESPONSE