Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 30 tong LPG di perairan Tawau


Read Time:1 Minute, 41 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar 30 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran dalam operasi di perairan Tawau, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, dalam operasi yang dijalankan, pihaknya telah menerima maklumat risikan berkenaan pergerakan mencurigakan sebuah bot di kawasan tersebut.

“Bertindak daripada laporan tersebut, bot peronda Maritim Malaysia telah diarahkan ke lokasi yang telah dikenal pasti bagi memintas bot terbabit yang dikesan bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada jam 6.20 pagi

“Pemeriksaan ke atas bot kargo yang ditahan di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Batu 3 tersebut mendapati terdapat seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 36 tahun membawa muatan 30 tong gas LPG berisi tanpa sebarang permit kebenaran, dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Juragan tersebut juga tidak mempunyai daftar nama di dalam lesen bot tersebut,” beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Ariffin berkata, juragan bersama bot serta kesemua muatan tersebut ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Beliau berkata, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM30,000.

Ariffin dalam pada itu berkata, pihaknya akan terus memperketat pemantauan terhadap ketirisan barangan bersubsidi terutama di lokasi hotspot yang dikenal pasti, susulan taktik licik sindiket yang memilih waktu sunyi bagi mengelak dikesan penguat kuasa

Beliau turut menegaskan, penguatkuasaaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” tambahnya.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut, orang awam boleh menyalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

LEAVE A RESPONSE