Read Time:1 Minute, 39 Second
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan merangka Pelan Tindakan Bandar Mesra Usia sebagai langkah proaktif menghadapi peningkatan populasi warga emas di bandaraya ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, inisiatif ini penting memandangkan Malaysia dijangka menjadi negara berpenduduk tua menjelang 2030 apabila lebih 15 peratus rakyat berusia 60 tahun ke atas berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Seiring perubahan ini, bandar-bandar di Malaysia semakin menyedari kepentingan menjadi bandar mesra usia bagi menyokong kesejahteraan serta kualiti hidup warga emas.
“Pelan tindakan ini akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur termasuk laluan pejalan kaki, kemudahan awam yang lebih selamat selain memperkukuh jaringan kerjasama dengan agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Inisiatif ini mencerminkan Misi DBKK yang pertama, iaitu menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya huni. Persekitaran bandar bukan sahaja perlu selesa dari segi fizikal, malah inklusif serta selamat untuk semua lapisan umur dan keupayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Inspirasi Dan Realiti: Perkongsian Bandar Mesra Usia (Aged-Friendly City) 2026, pada Isnin.
Program berkenaan disertai 200 peserta dan menjadi platform perkongsian ilmu serta amalan terbaik, termasuk pengalaman Pulau Pinang dalam melaksanakan agenda mesra usia melalui Penang Women’s Development Corporation (PWDC).
Sabin berkata, DBKK akan menjadikan konsep Bandar Mesra Usia yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai rujukan dalam merangka dasar serta pelaksanaan di peringkat bandar.
“Bagi Kota Kinabalu, inilah masa paling sesuai untuk memulakan langkah. Program ini diharap menjadi platform strategik dalam memperkukuh kefahaman, perkongsian ilmu dan amalan terbaik berkaitan pembangunan bandar mesra usia.
“Ia juga memberi panduan praktikal kepada DBKK dalam merancang langkah awal yang lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Sabin berkata, inisiatif itu melengkapi pelaksanaan Bandar Mesra Kanak-kanak hasil kerjasama DBKK dengan United Nations Children’s Fund (UNICEF) sejak 2024.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen DBKK dalam memastikan pembangunan bandar yang inklusif, selamat dan berdaya huni untuk semua peringkat umur, selaras dengan aspirasi Pelan Kota Kinabalu 2035 yang menekankan keterangkuman serta kesejahteraan sosial,” katanya.






