Read Time:3 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU: Industri kreatif perlu dilihat sebagai salah satu sektor ekonomi baharu yang mampu memberi sumbangan lebih besar kepada pembangunan Sabah, khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada golongan muda.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan teknologi digital membuka ruang lebih luas kepada anak muda untuk menjadikan bakat dalam seni, kandungan digital, muzik, perfileman dan bidang kreatif sebagai sumber pendapatan.
Katanya, Sabah mempunyai ramai bakat kreatif yang berpotensi diketengahkan bukan sahaja di peringkat negeri, malah ke pasaran nasional dan antarabangsa.
“Ekonomi kreatif bukan lagi sekadar berkaitan seni dan hiburan, tetapi merupakan satu bidang yang mempunyai nilai ekonomi serta mampu mewujudkan pekerjaan dan peluang keusahawanan.
“Bakat, karya, kandungan dan harta intelek yang dihasilkan oleh anak Sabah perlu diberi ruang untuk berkembang supaya mempunyai nilai komersial dan mampu menembusi pasaran lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), diketuai pengerusinya, Chester Pang, di pejabatnya di Wisma MUIS, di sini.
Nizam berkata, potensi besar sektor berkenaan dapat dilihat menerusi perkembangan industri budaya dan kreatif di peringkat negara.
Menurutnya, berdasarkan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), industri budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2024, bersamaan 6.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Eksport produk kreatif pula merekodkan RM63 bilion, meningkat 12.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Data ini menunjukkan sektor kreatif mempunyai nilai ekonomi yang besar dan tidak wajar dilihat sebagai bidang sampingan semata-mata.
“Sabah juga perlu melihat bagaimana potensi ini boleh diterjemahkan kepada peluang ekonomi untuk penggiat tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan ekonomi kreatif Sabah memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, persatuan, penggiat industri, golongan belia dan sektor swasta.
Katanya, pandangan daripada penggiat industri amat penting bagi memastikan dasar dan program yang dirancang mengambil kira keperluan sebenar sektor berkenaan.
Dalam pertemuan itu, KREATIF SABAH turut membentangkan cadangan penubuhan Hab Kreatif Tawau (Tawau C-Hub) yang dicadangkan sebagai ruang untuk menyokong aktiviti penghasilan karya, latihan, pembangunan bakat, kolaborasi, keusahawanan dan pemasaran produk kreatif.
Selain itu, gabungan berkenaan turut mencadangkan penganjuran Townhall Penggiat Seni dan Kreatif Sabah bagi menyediakan platform perbincangan antara penggiat industri dengan pihak berkepentingan.
Program itu bertujuan mengenal pasti cabaran yang dihadapi penggiat industri, selain membincangkan keperluan serta peluang untuk memperkukuh pembangunan sektor seni dan kreatif di Sabah.
Chester turut menyampaikan Memorandum Cadangan Tujuh Perkara Kreatif Sabah yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Pertama KREATIF SABAH pada Julai lalu.
Antara cadangan dikemukakan ialah memperkukuh penyelarasan pentadbiran ekonomi kreatif, mewujudkan hab kreatif atau pusat sehenti, meningkatkan penglibatan artis dan penggiat kreatif Sabah dalam program rasmi Kerajaan Negeri serta melibatkan pemain industri dalam proses penggubalan dasar berkaitan sektor berkenaan.
Memorandum itu turut mengetengahkan keperluan memperkemas penguatkuasaan permit bagi melindungi kepentingan seniman dan karyawan tempatan, selain memperkukuh usaha memelihara dan membangunkan khazanah seni serta kreatif Sabah.
Nizam berkata, semua cadangan berkenaan akan diteliti dengan mengambil kira fungsi dan bidang kuasa agensi berkaitan serta keutamaan pembangunan ekonomi kreatif negeri.
Katanya, setiap cadangan juga perlu mengambil kira aspek perancangan, peruntukan kewangan dan kaedah pelaksanaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan anak muda Sabah dalam pelbagai bidang turut membuktikan bahawa bakat tempatan mampu dikembangkan menjadi aset ekonomi negeri.
Beliau mengambil contoh kejayaan atlet Muay Thai Sabah, Emmabell Cassandra, yang menjuarai kategori wanita dalam pertandingan Byon Combat Showbiz 7.
Menurutnya, pencapaian seperti itu bukan sahaja mengangkat nama Sabah dalam bidang sukan, malah boleh membuka ruang kepada pembangunan jenama peribadi, kandungan digital dan peluang komersial.
“Bakat anak muda perlu diberikan sokongan dan ekosistem yang sesuai supaya mereka bukan sahaja berjaya dalam bidang masing-masing, tetapi mampu membina kerjaya dan sumber pendapatan melalui bakat yang dimiliki.
“Ini termasuk dalam bidang seni, sukan, kandungan digital dan pelbagai cabang industri kreatif yang kini mempunyai pasaran yang semakin luas,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus membuka ruang perbincangan dengan pemain industri bagi mendapatkan input dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi kreatif Sabah.
Katanya, kerjasama antara kerajaan dan penggiat industri penting bagi memastikan pembangunan sektor kreatif bergerak secara lebih tersusun, selain memberi manfaat langsung kepada bakat tempatan, khususnya golongan belia.





