Struktur Utama Menara ERS Berjaya Didirikan, Pemulihan Elektrik Sabah Masuk Fasa Seterusnya – Sabah News
KOTA KINABALU: Usaha memulihkan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah mencatat perkembangan positif apabila struktur utama menara sementara Emergency Restoration System (ERS) berjaya didirikan hari ini.
Sabah Electricity (SE) menerusi kenyataan di Facebook pada jam 1.45 petang hari ini memaklumkan pasukan teknikalnya berjaya menyelesaikan kerja-kerja mendirikan struktur utama menara sementara berkenaan di lokasi menara T313.
“Fasa seterusnya melibatkan pemasangan lengan silang menara (crossarm) serta komponen sokongan sebagai persediaan sebelum kerja-kerja pemasangan kabel penghantaran dilaksanakan.
“Perkembangan ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memulihkan laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah,” menurut kenyataan itu.
SE turut menegaskan bahawa keselamatan anggota kerja kekal menjadi keutamaan pada setiap peringkat pelaksanaan meskipun usaha pemulihan bekalan elektrik sedang dipercepatkan.
Dalam pada itu, SE merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas kesabaran, sokongan dan doa sepanjang usaha pemulihan dilaksanakan.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini kerja-kerja pemulihan menerusi halaman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline.






