Read Time:1 Minute, 18 Second
TAWAU : Cubaan menyeludup minyak paket bersubsidi dan bahan api tanpa permit dalam kuantiti kecil yang dipercayai dijalankan secara berulang terbongkar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo tempatan di sini pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bertindak hasil risikan, bot peronda yang sedang menjalankan operasi berjaya mengesan serta memintas sebuah bot mencurigakan yang bergerak laju menuju ke Pulau Sebatik sebelum pemeriksaan menemukan 14 kotak minyak paket dan enam gelen bahan api dianggarkan 120 liter tanpa sebarang permit sah.
Beliau berkata, bot tersebut dipintas kira-kira 1.5 batu nautika utara Muara Sungai Aji Kuning pada jam 12.40 tengah hari yang dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, juragan bot terbabit tidak berdaftar dalam lesen bot yang digunakan, sekali gus menimbulkan keraguan wujud pelanggaran undang-undang berkaitan kawalan bekalan dan perkapalan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini
Susulan itu, Ariffin berkata, juragan bersama bot dan muatan ditahan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
“Maritim Malaysia turut menyita bot kargo, enjin serta muatan dengan nilai anggaran RM43,000,” katanya.
Sementara itu Ariffin turut berkata, penguatkuasaan akan terus diperkukuh khususnya di perairan Tawau yang dikenal pasti sebagai kawasan panas, selain memastikan setiap pelanggaran undang-undang ditangani tanpa kompromi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.






