Read Time:2 Minute, 30 Second
Penulis : Muhammad Hafiz Zikry Bin Ismail
TANJUNG MALIM, – Anak jati kelahiran Sandakan, Sabah, Muhammad Afizi Zazani bin Muddin sekali lagi mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2025 pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa UPSI 2025 yang berlangsung di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.
Anugerah berprestij tersebut merupakan antara pengiktirafan tertinggi universiti kepada mahasiswa yang memperlihatkan kecemerlangan luar biasa dalam aspek kepimpinan, sahsiah, akademik, kesukarelawanan, pembangunan mahasiswa serta sumbangan berimpak kepada universiti dan masyarakat.
Muhammad Afizi Zazani, yang merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) dengan Kepujian di Fakulti Sains dan Matematik (FSM), berjaya menonjolkan kepimpinan yang konsisten sepanjang bergelar mahasiswa. Beliau aktif menerajui pelbagai program pembangunan mahasiswa, kesukarelawanan, pemerkasaan belia, kelestarian dan jaringan kolaborasi di peringkat universiti, kebangsaan serta antarabangsa.
Sepanjang penglibatannya di UPSI, beliau turut mewakili universiti dalam pelbagai persidangan, program kepimpinan dan forum antarabangsa, selain memainkan peranan penting dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada warga universiti dan komuniti. Komitmen yang berterusan terhadap pembangunan mahasiswa dan masyarakat menjadi antara faktor yang melayakkan beliau menerima pengiktirafan tersebut.
Mengulas mengenai kejayaan itu, Muhammad Afizi Zazani menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diterima dan menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu amanah untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT atas rezeki dan penghormatan ini. Anugerah ini bukanlah milik saya seorang, sebaliknya adalah hasil daripada doa, pengorbanan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada kedua-dua ibu bapa saya, keluarga, para pensyarah, rakan-rakan serta semua yang sentiasa memberi kepercayaan kepada saya sepanjang perjalanan ini.”
Beliau berkata, setiap kejayaan yang dikecapinya hari ini lahir daripada doa dan restu kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dalam mengharungi cabaran sebagai mahasiswa.
“Saya percaya tiada kejayaan yang datang tanpa reda dan doa daripada ibu bapa. Setiap langkah yang saya ambil sentiasa diiringi doa mereka. Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa UPSI 2025 ini saya dedikasikan khas buat ayah dan ibu yang tidak pernah mengenal erti penat dalam membesarkan, mendidik dan mendoakan saya sehingga berada pada tahap ini.”
Beliau turut berharap kejayaan tersebut mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya pelajar dan mahasiswa di Sabah, agar terus berani mencabar diri, mengembangkan potensi kepimpinan serta memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi motivasi kepada anak-anak muda, khususnya di Sabah, bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai apabila kita mempunyai impian yang besar, berusaha dengan bersungguh-sungguh serta sentiasa menghormati dan menghargai doa kedua-dua ibu bapa. Teruslah menimba ilmu, berbakti kepada masyarakat dan menjadi pemimpin yang membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris, Fakulti Sains dan Matematik, para pensyarah, rakan-rakan serta semua pihak yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kepimpinan beliau sepanjang bergelar mahasiswa.
Penganugerahan Tokoh Kepimpinan Siswa UPSI 2025 ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap kecemerlangan seorang mahasiswa, malah membuktikan bahawa anak muda Malaysia mampu menyerlah sebagai pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan berdaya saing dalam membentuk masa depan negara melalui pendidikan, kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat






