Read Time:2 Minute, 7 Second
KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya Kerajaan MADANI membatalkan atau memotong peruntukan projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah dan Sarawak adalah tidak berasas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu tidak boleh disamakan dengan pembatalan projek pembangunan yang telah diluluskan.
Katanya, peruntukan asal JALB di peringkat nasional terus meningkat daripada RM2.11 bilion pada 2026 kepada RM2.27 bilion pada 2027.
“Berdasarkan rekod, sebelum pentadbiran Kerajaan MADANI, peruntukan JALB tidak pernah mencecah RM1 bilion.
“Peruntukan sebanyak RM1.09 bilion hanya mula diperuntukkan pada 2023 dan ini menunjukkan komitmen pentadbiran pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan jawatankuasa bencana daerah Kota Kinabalu di sini pada Rabu.
Hadir sama Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Mustapha berkata, Kementerian Kewangan turut meluluskan peruntukan tambahan RM500 juta pada 2026 bagi membantu menangani tunggakan bayaran kepada kontraktor JALB.
Menurutnya, langkah itu menunjukkan kerajaan tidak mengurangkan pembiayaan, sebaliknya menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan komitmen terhadap projek sedia ada dapat ditunaikan.
Beliau berkata, isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah komitmen kontrak dan perbelanjaan yang melebihi peruntukan tahunan diluluskan sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan bayaran kepada kontraktor.
“Justeru, arahan penangguhan SST baharu pada 10 September 2026 merupakan langkah kawalan kewangan bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, bukannya arahan pembatalan secara menyeluruh terhadap projek pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, kerajaan turut meminta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyediakan unjuran keperluan pembiayaan sehingga 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan projek sedia ada dapat diteruskan menerusi pengurusan kewangan yang lebih teratur, telus dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menjadi mangsa pemotongan atau pembatalan projek juga tidak wajar dibuat berdasarkan andaian semata-mata.
“Mana-mana pihak yang membuat dakwaan sedemikian wajar mengemukakan senarai projek, nilai peruntukan serta status pembatalan sebagai bukti yang boleh disemak,” katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah dan Sarawak turut diterjemahkan menerusi Belanjawan 2027, dengan peruntukan Persekutuan kepada Sabah meningkat daripada RM17.6 bilion kepada RM18.7 bilion.
Katanya, peruntukan kepada Sarawak turut meningkat daripada RM15.1 bilion kepada RM16.2 bilion.
“Selain itu, sebanyak RM3.3 bilion disediakan bagi projek jalan raya di kedua-dua negeri, termasuk kesinambungan pembangunan jaringan jalan strategik,” katanya.
Mustapha menegaskan pembangunan Sabah dan Sarawak kekal sebagai pelaburan jangka panjang dan keutamaan Kerajaan MADANI.
“Keperluan memperbaiki jalan luar bandar, meningkatkan keterhubungan serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah tidak pernah dipinggirkan,” katanya. – SABAH MEDIA





