Read Time:1 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Gejala buli siber dalam kalangan pelajar perlu diberi perhatian serius berikutan pengaruh media sosial yang berpotensi mendorong mereka meniru perlakuan negatif, termasuk perbuatan membuli.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, perbuatan buli bukan sahaja berlaku secara fizikal atau melalui ejekan, malah turut melibatkan penggunaan platform media sosial.
Beliau berkata, pendedahan kepada kandungan negatif di media sosial boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar sehingga mendorong mereka mencontohi perbuatan berkenaan tanpa menyedari kesannya terhadap orang lain.

“Ini membabitkan media sosial kerana buli bukan hanya berlaku melalui ejekan atau perbuatan fizikal, tetapi juga menerusi media sosial.
“Pelajar, khususnya, melihat dan mencontohi kandungan di media sosial sebelum mengikutinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi Town Hall bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Arif berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk ketua polis daerah, ketua jabatan polis, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Daerah, PIBKS dan pelajar bagi membincangkan langkah menangani gejala buli.
Katanya, penglibatan panel daripada PDRM, PIBKS dan pihak kesihatan mental turut memperlihatkan kepentingan kerjasama rentas agensi dalam memperkukuh usaha pencegahan buli.
Menurutnya, pendekatan bersepadu itu membolehkan setiap pihak berkongsi pandangan serta kepakaran, khususnya dalam memahami isu buli daripada perspektif penguatkuasaan, ibu bapa dan kesihatan mental.
Beliau berkata, usaha menangani gejala berkenaan memerlukan penglibatan seluruh komuniti dan tidak boleh diserahkan kepada pihak sekolah atau agensi penguat kuasa semata-mata.
Sehubungan itu, beliau berharap program kesedaran dan perbincangan seumpama itu dapat membantu membendung gejala buli, termasuk buli siber, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selamat dan harmoni untuk pelajar di Sabah. – SABAH MEDIA





