Read Time:1 Minute, 59 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Hubungan antara Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dengan ibunya dilihat kekal aktif dari segi emosi dan signifikan dari sudut psikologi.
Pakar Psikiatri Dr Wong Haw Huo berkata rakaman audio menunjukkan Zara kerap mendapatkan sokongan emosi, bimbingan, nasihat praktikal dan jaminan daripada ibunya berkaitan hal persekolahan, persahabatan, kewangan, keselamatan serta kehidupan harian.
“Walaupun terdapat beberapa catatan yang mengandungi luahan kemarahan atau kekecewaan terhadap ibunya secara episodik, bahan lain yang wujud pada tempoh sama termasuk rakaman audio, gambar serta maklumat sokongan tidak menyokong kesimpulan bahawa wujud penolakan berterusan, pengasingan emosi atau keretakan hubungan antara ibu dan anak.
“Hubungan antara si mati dengan ibunya dilihat kekal aktif dari segi emosi, signifikan dari sudut psikologi dan berterusan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
Saksi ke-75 itu bekata demikian ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurutnya, dari sudut psikiatri, ibu Zara dilihat berperanan sebagai sumber utama sokongan emosi, ketenangan, pemprosesan interpersonal serta rasa selamat dari sudut psikologi kepada si mati.
Wong berkata gaya keibubapaan ibu Zara dilihat penyayang, prihatin, melindungi serta serta berorientasikan bimbingan.
Katanya, respons ibu Zara sering menekankan nasihat praktikal, aspek keselamatan, kawalan tingkah laku, ketenangan, pendekatan berasaskan agama atau kepercayaan serta ketabahan.
“Gaya keibubapaan seperti ini mampu menyediakan struktur, kestabilan dan panduan. Pada masa sama, ia mungkin kurang kondusif untuk penerokaan emosi yang lebih mendalam atau pengesahan emosi, terutama apabila tekanan emosi diluahkan secara tidak langsung atau dengan intensiti yang tinggi.
“Bagaimanapun, bahan yang tersedia tidak menunjukkan wujudnya pengabaian emosi, sikap tidak peduli, penolakan atau kekurangan ikatan keibubapaan daripada pihak ibu,” katanya.
Beliau berkata hubungan Zara dengan bapanya pula dilihat lebih terhad dan tidak konsisten sepanjang tempoh berkenaan.
“Berdasarkan bahan yang tersedia, bapa tidak kelihatan berperanan sebagai individu utama yang menjadi tempat bergantung atau sebagai figura kelekatan yang sentiasa hadir kepada si mati,” katanya.
Zara, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.
Kematiannya mencetuskan perhatian meluas di seluruh negara susulan dakwaan bahawa beliau menjadi mangsa buli.
Pada 20 Ogos tahun lalu, lima remaja yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara. Mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan masih berlangsung.
LINK BERITA TERDAHULU:






