Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

KPDN Sabah berjaya peroleh sabitan kes berterusan gagal patuhi award TTPM

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya memperoleh sabitan terhadap sebuah syarikat yang didapati melakukan kesalahan berterusan kerana gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), sekali gus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Dalam prosiding di Mahkamah Majistret 3 Kota Kinabalu, Alex Contractor Sdn. Bhd. mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 117(2) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana terus gagal mematuhi Award TTPM No. TTPM-SAB-(P)-34-2025 bertarikh 21 April 2025 yang mengarahkan syarikat itu membayar RM50,000 kepada pihak yang membuat tuntutan.

Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman denda RM20,300 atau penjara enam minggu sekiranya gagal membayar denda. Syarikat berkenaan telah menjelaskan denda yang dikenakan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa (PPP) T/K Gunasegaran Krishnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut KPDN Sabah, kesalahan itu merupakan kesalahan berterusan selepas syarikat berkenaan sebelum ini disabitkan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 pada 2 Disember 2025 kerana gagal mematuhi award tribunal yang sama.

Bagaimanapun, syarikat terbabit masih gagal melaksanakan award tersebut sehingga tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 117(2) diambil. Penalti tambahan yang dikenakan mahkamah adalah berdasarkan tempoh 203 hari kesalahan itu berterusan.

Seksyen 117(2) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang terus gagal mematuhi Award Tribunal selepas disabitkan di bawah Seksyen 117(1) boleh dikenakan denda tambahan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada hari sepanjang kesalahan itu berterusan.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, berkata pihaknya memandang serius kegagalan mana-mana pihak mematuhi Award Tribunal TTPM.

“Tindakan ini mencerminkan komitmen KPDN dalam melindungi hak pengguna serta memastikan setiap award tribunal dihormati dan dipatuhi.

“Ia juga memberi mesej jelas bahawa kegagalan mematuhi award tribunal merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan kepenggunaan melalui WhatsApp KPDN di talian 019-8488000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

LEAVE A RESPONSE