Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ibu Zara rasa dirinya tidak cukup baik untuk anak – Pakar psikiatri

Read Time:2 Minute, 28 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir merasakan dirinya “tidak melakukan yang terbaik” untuk anaknya dan berasa bersalah terhadap Zara, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.

Pakar psikiatri Dr Wong Haw Huo berkata Noraidah Lamat berkongsi perkara itu semasa penilaian psikiatri yang dijalankan bersama Pakar Psikiatri Dr Aili Hanim Hashim.

Beliau berkata Noraidah turut meluahkan rasa bersalah kerana Zara bersekolah di sekolah berasrama yang sama seperti beliau.

“Beliau berulang kali berkongsi dengan kami bahawa beliau sentiasa merasakan mungkin dirinya tidak melakukan yang terbaik. Beliau berasa bersalah terhadap Zara.

“Beliau juga berasa bersalah kerana Zara memasuki sekolah yang sama seperti beliau. Namun, bagi ibu Zara yang mempunyai perwatakan sangat tabah, beliau berjaya melalui kehidupan sekolah menengah dengan baik serta membina persahabatan yang sangat bermakna bertahun-tahun dahulu.

“Sebab itu ibu Zara sentiasa menggalakkan Zara memasuki sekolah berasrama, mendapatkan lebih ramai kawan dan belajar berdikari seperti yang pernah dilaluinya. Zara menerima perkara itu secara positif,” katanya ketika menjawab soalan tambahan peguam Shahlan Jufri.

Dr Wong berkata Noraidah melalui zaman kanak-kanak yang sukar selepas ibu bapanya berpisah dan membesar dalam kemiskinan. Beliau juga kehilangan bapanya ketika Zara dalam kandungan.

Katanya, pengalaman itu membentuk Noraidah menjadi seorang yang tabah dan belajar untuk terus bertahan menghadapi kesukaran hidup.

Dr Wong berkata sepanjang sesi temu bual itu, Noraidah pada mulanya cuba menampilkan dirinya sebagai seorang yang kuat dengan berulang kali meyakinkan pakar psikiatri bahawa beliau “baik-baik sahaja”, walaupun baru kehilangan anak.

“Sepanjang sesi temu bual itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ibu Zara sentiasa cuba menampilkan dirinya sebagai seorang yang sangat tabah. Beliau terus meyakinkan kami, ‘Saya okey, doktor. Saya okey.’

“Bagi kami, sebagai manusia biasa, keadaan itu bukan sesuatu yang normal selepas kehilangan orang yang kita sayang,” katanya.

Dr Wong berkata Noraidah berjaya mengawal emosinya hampir sepanjang sesi temu bual sebelum akhirnya menangis pada 10 minit terakhir apabila perbualan beralih kepada Zara.

“Beliau terus menangis, berulang kali meminta maaf kepada saya dan meminta kebenaran daripada saya sebagai doktor untuk menangis.

“Beliau telah memendam emosinya sejak sekian lama. Beliau belajar untuk hidup sedemikian bagi membolehkan dirinya terus bertahan dan melawan segala kesukaran hidup demi memberikan yang terbaik kepada anaknya,” katanya.

Dr Wong turut menekankan bahawa Noraidah dan Zara sama-sama menjadikan pegangan agama sebagai mekanisme daya tindak.

Beliau berkata bahan yang diteliti menunjukkan rumah mereka dipenuhi buku-buku keagamaan dan motivasi kendiri, manakala Zara memperoleh inspirasi dengan mengamalkan nilai-nilai murni agamanya dalam kehidupan seharian.

Beliau turut mengimbas kata-kata seorang guru Zara yang memaklumkan bahawa remaja itu pernah menyatakan hasrat untuk menjadi seorang ustazah, selari dengan catatan diarinya yang menyebut bahawa beliau mahu menjadi badar suatu hari nanti kerana mahu membanggakan ibunya.

“Daripada situ, kita dapat memahami bahawa pemikiran Zara berkembang ke arah yang positif.

“Namun, di sebalik pemikiran positif itu, faktor-faktor lain yang berlaku sepanjang beberapa bulan di sekolah menengah akhirnya mengubah segala-galanya,” katanya.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung pada 13 Julai.

LEAVE A RESPONSE