Read Time:1 Minute, 39 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu mengambil kira pandangan serta maklum balas parti-parti komponen di peringkat akar umbi sebelum dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi gabungan itu.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penentuan hala tuju kerjasama politik gabungan itu tidak boleh berasaskan pandangan peribadi beliau semata-mata, sebaliknya perlu melalui perbincangan menyeluruh dengan semua parti komponen.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, setakat ini GRS belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi mengenai kemungkinan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU16.
Menurutnya, tumpuan GRS ketika ini adalah memperkukuh kekuatan gabungan itu di seluruh kawasan, selain meneliti isyarat rakyat menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sebagai antara indikator penting dalam menentukan hala tuju politik gabungan berkenaan.
“Setakat ini tidak ada perbincangan. Jadi saya fikir kurang sesuai untuk saya memberi pandangan peribadi kerana perkara ini perlu dibincangkan, memandangkan GRS melibatkan pelbagai parti.
“Mungkin apabila tiba masanya, dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS dan sebagainya, perkara itu akan dibincangkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media mengenai pendirian GRS terhadap kemungkinan kerjasama politik menjelang PRU16, termasuk cadangan Muafakat Sabah serta usaha parti lain mempertahankan kerusi sedia ada dan meneroka kawasan baharu, di sini, hari ini.
Mengulas cadangan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan GRS menerusi gagasan Muafakat Sabah yang dicetuskan bekas Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, Armizan berkata, perkara itu membabitkan dasar serta hala tuju gabungan dan perlu diputuskan secara bersama.
Bagaimanapun, beliau menegaskan GRS tidak menutup ruang untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan pengalaman gabungan itu menjalin kerjasama sebelum dan selepas PRN bagi membentuk kerajaan yang stabil.
“Bagi saya, apa yang penting adalah mewujudkan kestabilan kepada kerajaan negeri supaya kita dapat memberikan khidmat kepada masyarakat.
“GRS juga perlu melihat kepada isyarat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya negeri yang lepas. Itu salah satu indikator penting untuk diteliti bagi menentukan hala tuju GRS ke depan,” tegasnya.





