Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

LIMA’27: Empat Pasukan Aerobatik Antarabangsa Diundang Gegar Langkawi

Read Time:1 Minute, 27 Second

KUALA LUMPUR: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) dijangka tampil lebih besar dan berprestij dengan rancangan kehadiran empat pasukan aerobatik antarabangsa bagi memeriahkan ruang udara Langkawi pada April depan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Malek Razak Sulaiman berkata, pasukan yang diundang ialah Black Eagles dari Korea Selatan, Al Fursan dari Emiriah Arab Bersatu, Jupiter Aerobatic Team dari Indonesia dan Russian Knights dari Rusia.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan pasukan berkenaan masih tertakluk kepada pengesahan akhir serta perkembangan situasi geopolitik semasa.

“LIMA sentiasa menjadi platform dinamik di mana teknologi bertukar menjadi perkongsian, dan idea berubah menjadi peluang,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian mewakili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas mengenai skala penganjuran edisi ke-18 itu, Abdul Malek berkata LIMA’27 dijangka menghimpunkan sehingga 110 pesawat serta aset udara, selain 90 kapal dan aset maritim.

Beliau berkata, sambutan awal daripada pemain industri juga amat menggalakkan apabila kira-kira 40 peratus ruang pameran telah ditempah dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran awal acara berkenaan.

Menurutnya, LIMA’27 menyasarkan penyertaan 930 syarikat pameran, meningkat kira-kira 15 peratus berbanding edisi terdahulu.

“Kita juga menyasarkan kehadiran 60,000 pelawat perdagangan dan sehingga 400,000 pengunjung awam sepanjang lima hari acara berlangsung,” katanya.

LIMA’27 turut memberi tumpuan kepada lapan segmen teknologi masa depan, termasuk pembangunan kapal autonomi, pesawat tanpa pemandu atau dron, keselamatan siber serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pertahanan.

Sebagai sebahagian daripada program menjelang LIMA’27, Kementerian Pertahanan bersama penganjur bersama, Global Exhibition and Conferences Sdn Bhd (GEC), akan menganjurkan LIMA Run pada 25 Oktober 2026 di Dataran DBKL, Kuala Lumpur.

Program itu bertujuan mendekatkan penganjuran LIMA dengan masyarakat, selain menyemarakkan momentum menjelang acara utama yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 April 2027 di Langkawi.

LEAVE A RESPONSE