Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kenderaan pengangkutan darat barangan, awam perlu daftar segera SKDS

Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kenderaan sektor pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan yang layak menerima subsidi diesel digesa mendaftar segera di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan mereka terus menikmati subsidi yang disediakan kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggunaan SKDS bersama fleet card akan diwajibkan bagi mendapatkan subsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat barangan dan awam pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat yang mempunyai kenderaan di bawah 33 kategori yang layak supaya tidak menangguhkan permohonan bagi mengelakkan sebarang gangguan dalam penerimaan subsidi diesel.

“Melalui SKDS, syarikat yang layak akan menerima subsidi diesel menerusi mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS kepada sebahagian syarikat pengangkutan darat barangan yang telah mendapat kelulusan pendaftaran SKDS di Kepayan, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan telah dibuka sejak 4 Mei lalu, manakala sektor pengangkutan darat awam telah menikmati kemudahan subsidi bersasar itu sejak Jun 2024.

Sehingga 14 Jun 2026, sebanyak 8,060 syarikat melibatkan 29,631 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 3,922 syarikat dengan 14,415 kenderaan, Sarawak mencatatkan 3,869 syarikat melibatkan 14,447 kenderaan, manakala WP Labuan merekodkan 269 syarikat dengan 769 kenderaan.

Armizan berkata, peluasan SKDS merupakan langkah kerajaan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan subsidi diesel secara digital bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar serta mengurangkan ketirisan.

Katanya, penggunaan fleet card membolehkan pemantauan penggunaan diesel bersubsidi dilakukan dengan lebih berkesan sekali gus mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk warga asing dan pendatang tanpa izin.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah itu terus meningkat pada tahun ini susulan krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik di Asia Barat.

“Pada Januari dan Februari 2026, subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak masing-masing berjumlah RM103 juta dan RM106 juta.

“Namun selepas konflik bermula pada 28 Februari lalu, jumlah subsidi melonjak kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April,” katanya.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak bagi tempoh Januari hingga April 2026 telah mencecah RM1.4 bilion.

Armizan menegaskan kerajaan akan terus menanggung peningkatan kos subsidi diesel selagi harga minyak dunia kekal tinggi dan krisis tenaga berterusan.

Katanya, kerajaan kekal komited menyalurkan subsidi diesel secara bersasar kepada rakyat dan industri sebagai langkah membantu menangani peningkatan kos sara hidup serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Pada masa sama, pelaksanaan subsidi bersasar penting bagi mengurangkan risiko ketirisan serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penggunaan wajib SKDS dan fleet card bagi sektor pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dikuatkuasakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sehubungan itu, syarikat yang layak digesa membuat permohonan segera melalui portal MySubsidi dan tidak menunggu sehingga saat akhir.

Di Sabah, syarikat minyak yang terlibat dalam pelaksanaan SKDS ialah Petronas, Shell dan Petron.

LEAVE A RESPONSE