Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

TUDM sertai OPA bantu tangani jerebu, tingkat paras takungan air

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi membantu menangani keadaan jerebu selain meningkatkan paras takungan air di kawasan yang terjejas akibat cuaca kering.

Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Norli Hisham Alwi berkata, operasi itu dilaksanakan menggunakan pesawat C-130 yang berpangkalan di Pangkalan Udara Labuan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Menurutnya, MET Malaysia akan membekalkan data terkini berkaitan keadaan serta kesesuaian awan sebelum sesuatu operasi pembenihan awan dilaksanakan.

“Petugas MET Malaysia turut menyertai penerbangan dan campuran bahan pembenihan awan akan dilepaskan ke kawasan awan yang dikenal pasti sesuai.

“Siri OPA yang dilaksanakan baru-baru ini menyasarkan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak serta mencatatkan kejayaan positif dengan menghasilkan hujan di lokasi sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini.

Norli berkata, pelaksanaan operasi berkenaan bukan sahaja bertujuan mengurangkan kesan jerebu, malah membantu meningkatkan paras takungan air yang berada pada tahap kritikal akibat keadaan cuaca kering.

Katanya, OPA diselaraskan secara keseluruhan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan penglibatan agensi berkaitan termasuk MET Malaysia dan TUDM.

Dalam perkembangan sama, Norli berkata kunjungan hormat itu menjadi platform bagi Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) untuk memaklumkan kepada Tun Musa mengenai peranan, struktur organisasi serta pengoperasian TUDM di kawasan Malaysia Timur.

Beliau berkata, tanggungjawab utama MAWILUD 2 adalah memastikan keselamatan dan kedaulatan ruang udara di Malaysia Timur, khususnya Sabah dan Sarawak, sentiasa terpelihara.

“TUDM sentiasa menjalankan pemantauan ketat terhadap mana-mana pesawat asing atau tidak dikenali yang dikesan menghampiri atau memasuki ruang udara negara.

“Sekiranya perlu, pesawat pejuang TUDM akan dilancarkan bagi mengenal pasti tujuan kehadiran pesawat berkenaan dan seterusnya mengekang sebarang bentuk pencerobohan demi memelihara kedaulatan negara,” katanya.

Hadir sama, Ketua Staf MAWILUD 2, Brigedier Jeneral Mohd Hakimi Mohd Anuar dan Komander Pangkalan Udara Labuan, Brigedier Jeneral Mohammad Jafri Suboh.

LEAVE A RESPONSE