Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Inisiatif Beliawanis Prihatin cetus penubuhan Food Bank UNITAR Sabah

Read Time:3 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Inisiatif Beliawanis Prihatin anjuran Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menjadi pemangkin kepada penubuhan Food Bank UNITAR Sabah dalam usaha membantu kebajikan pelajar, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan keperluan makanan.

Ketua Beliawanis PGRS, Emmie Martin Idang berkata, program berkenaan merupakan antara projek utama Beliawanis tahun ini dan diwujudkan selepas pihaknya mendapat maklum balas mengenai kesukaran yang dihadapi sebahagian mahasiswa.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan anak muda yang berdepan keadaan sehingga sukar mendapatkan makanan mencukupi, sekali gus mendorong Beliawanis mengambil inisiatif untuk membantu golongan berkenaan.

“Apabila saya bercakap dengan rakan-rakan, mereka memberitahu ada dalam kalangan rakan sebaya kita yang tidak mampu mendapatkan walaupun satu hidangan sehari.

“Jadi, kami mengambil perkara itu dalam pertimbangan dan merasakan sudah tiba masanya untuk kita membantu pelajar. Kami juga pernah melalui kehidupan sebagai pelajar dan mungkin ketika itu tiada yang membantu, jadi sekarang kami berada di sini untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Beliawanis Prihatin di UNITAR Sabah, di sini pada Jumaat.

Emmie berkata, usaha Beliawanis tidak terhad kepada aspek kebajikan dan bantuan makanan semata-mata, sebaliknya pihaknya turut merancang program lain yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan anak muda.

Katanya, Beliawanis bersedia mendengar keperluan mahasiswa dan bekerjasama dengan mereka termasuk dalam penganjuran program pembangunan kemahiran seperti pemasaran digital yang dilihat semakin relevan dalam perkembangan teknologi dan globalisasi.

“Kami akan cuba melihat apa yang anak-anak muda perlukan, mendengar mereka dan bekerjasama dengan pelajar mengenai perkara yang mahu mereka lakukan.

“Walaupun kami merupakan sebuah sayap parti politik, kami tetap mementingkan kepentingan anak-anak muda. Apa sahaja yang kami boleh bantu pelajar, kami gembira untuk memberikan sokongan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif UNITAR Sabah, Vanessa Faye George berkata, sumbangan menerusi Beliawanis Prihatin memberi manfaat kepada pelajar terutama mereka yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan tinggal jauh daripada keluarga.

Menurutnya, UNITAR Sabah mempunyai kira-kira 1,600 pelajar konvensional dengan dianggarkan 70 peratus daripadanya berasal dari kawasan pedalaman Sabah.

“Sebahagian pelajar kami datang daripada latar belakang yang kurang berkemampuan dan berasal dari seluruh Sabah, selain Sarawak dan Semenanjung. Kebanyakan mereka berada jauh dari rumah, jadi kewangan dan makanan sememangnya antara perkara yang perlu mereka hadapi.

“Bantuan ini dapat memastikan apabila mereka berada dalam kesukaran, sekurang-kurangnya mereka mempunyai makanan supaya dapat meneruskan pengajian dan melakukan yang terbaik dalam kehidupan sebagai pelajar,” katanya.

Vanessa berkata, pihaknya sebelum ini sudah memikirkan untuk mewujudkan food bank di UNITAR Sabah, namun usaha itu belum dapat direalisasikan berikutan ketiadaan penderma.

Katanya, pendekatan Beliawanis yang menghubungi pihak universiti dan menawarkan sumbangan akhirnya membuka ruang untuk inisiatif berkenaan direalisasikan.

“Keistimewaan sumbangan hari ini adalah kerana usaha Beliawanis menghubungi kami. Sebelum ini memang ada memikirkan untuk mewujudkan food bank tetapi belum terlaksana kerana tiada penderma dan kami tidak tahu siapa yang boleh menyumbang.

“Apabila Beliawanis datang dan menyatakan mereka mempunyai sesuatu untuk disumbangkan, kami mengambil keputusan untuk merealisasikannya. Disebabkan usaha Beliawanis, UNITAR Sabah kini mempunyai food bank,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar tahun pertama Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UNITAR, Fasha Adila Mah Xiu Ling, 20, menyifatkan bantuan berkenaan amat bermakna terutama kepada mahasiswa dari kawasan pedalaman dan keluarga kurang berkemampuan.

“Food bank yang diberikan ini sangat berharga untuk kami semua. Walaupun mungkin dilihat sebagai bantuan yang kecil, ia sebenarnya sangat membantu kami.

“Apa yang dilakukan ini membuka jalan untuk memudahkan pelajar dan kami amat menghargainya,” katanya.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNITAR sesi 2025/2026, Nicholas Jason, 23, pula berkata, bantuan makanan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan beban mahasiswa ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.

Pelajar tahun ketiga Bachelor of Education (TESL) itu berkata, peningkatan kos sara hidup turut memberi kesan kepada keluarga yang menanggung perbelanjaan anak-anak sepanjang tempoh pengajian.

“Dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi, beban ibu bapa untuk menyediakan keperluan anak-anak turut meningkat.

“Sebagai wakil pelajar, kami sangat berterima kasih atas bantuan makanan ini. Walaupun mungkin tidak banyak, sedikit sebanyak ia dapat membantu pelajar meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Program Beliawanis Prihatin setakat ini telah digerakkan di sembilan lokasi membabitkan institusi pendidikan, asrama, pusat tahfiz dan rumah kebajikan di beberapa daerah di Sabah.

Antaranya City University, Rumah Bakti Harapan Inanam, Rumah Anak Yatim Al Aman Beaufort, Asrama Butitin Nabawan, North Borneo University College (NBUC), University College Sabah Foundation (UCSF), Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Aminuddin Papar, Almacrest International College dan UNITAR Sabah.

Gerakan berkenaan akan diteruskan dengan program di Rumah Anak Yatim Kampung Bobot, Kota Belud dan sebuah rumah anak yatim di Kudat pada dalam bulan ini.

LEAVE A RESPONSE