Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Dari Sabah ke pentas antarabangsa, Yolanda Dance Studio serlah prestasi cemerlang

Read Time:2 Minute, 49 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Penyertaan sulung Yolanda Dance Studio dari Sabah di International Arts Festival (IAF) 2026 mencatat pencapaian membanggakan dengan 20 anugerah, selain tiga jemputan ke Grand Final Singapore 2026.

Sebanyak enam Platinum, tujuh Emas, dua Perak dan lima Gangsa diraih penari muda studio berkenaan pada pertandingan yang berlangsung dari 18 hingga 20 September lalu di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya (PJPAC).

Antara yang mencatat pencapaian terbaik ialah Chia Yee Qi yang meraih dua anugerah Platinum.

Satu daripadanya diraih menerusi persembahan Duo bersama Chloe Chang Wan Ni yang dikoreografi oleh Wong Hui Ping atau lebih dikenali sebagai Teacher Ping. Persembahan itu melayakkan pasangan berkenaan menerima jemputan ke Grand Final Singapore 2026.

Chia dan Chloe bersama pengetua Yolanda Dance Studio, Yolanda Chong (kanan) dan Teacher Ping (kiri). Foto ihsan YDS

Turut menerima jemputan ke pentas akhir berkenaan ialah persembahan berkumpulan “Waltz of the Flowers” dan Jasmine Al Adawiyyah selepas masing-masing meraih anugerah Platinum.

Ivana Iman pula mempamerkan kebolehannya menerusi dua persembahan berbeza, iaitu variasi balet klasik “Crystal Fountain Fairy Variation” dan karya neoklasik “Secret Garden Adagio” yang dikoreografi Pengetua Yolanda Dance Studio, Yolanda Chong.

Kedua-dua persembahan itu masing-masing membolehkan Ivana meraih anugerah Platinum dan Emas.

“IAF adalah satu pertandingan yang mencabar. Saya bangga melihat para penari berdepan cabaran itu dengan penuh kesungguhan, keyakinan dan semangat.

“Pencapaian ini bukan datang dengan mudah…. Banyak masa dan usaha yang dicurahkan untuk latihan dan persiapan, bukan sahaja di studio tetapi juga di luar studio,” kata Chong.

Kejayaan itu turut membawa pengiktirafan kepada tenaga pengajar apabila Chong dan Teacher Ping masing-masing menerima Outstanding Teacher Award pada IAF.

“Bagi Yolanda Dance Studio, keputusan ini merupakan satu pencapaian luar biasa dalam penyertaan pertama kami di International Arts Festival.

“Di sebalik pingat dan trofi, pengalaman ini memberi pendedahan pentas yang berharga kepada pelajar, meningkatkan keyakinan serta memberi peluang kepada mereka untuk berkembang sebagai penari muda,” katanya yang sudah lebih sedekad menerajui Yolanda Dance Studio.

Empat biasiswa, Best School di AODC

Pencapaian di IAF itu menyusul hanya beberapa hari selepas Yolanda Dance Studio menerima anugerah Best School pada Asia Open Dance Championship (AODC) 2026.

Pertandingan selama enam hari dari 11 hingga 16 September di PJPAC itu menyaksikan studio berkenaan meraih dua Diamond, 16 Emas, empat Perak dan satu Gangsa, selain memperoleh empat biasiswa untuk pertandingan antarabangsa dan dalam negara pada 2027.

Antara penari yang mencatat pencapaian terbaik ialah Melody Chia yang meraih Diamond dalam kategori Senior Lyrical, selain dinobatkan sebagai Top Scorer dan menerima Outstanding Dancer Award. Dia turut memenangi Emas dalam kategori Senior Classical serta memperoleh biasiswa 50 peratus ke Taiwan International Open Dance Championship 2027.

Melody (tengah) bersama pengetua Yolanda Dance Studio, Yolanda Chong (kiri) dan Teacher Ping (kanan). Foto ihsan YDS

Penari lain, Cynthia Lee turut mencatat pencapaian cemerlang dengan meraih anugerah Diamond, sekali gus menerima biasiswa 50 peratus ke Malaysia Grand Prix 2027.

Persembahan berkumpulan “Waltz of the Flowers” pula meraih anugerah Emas serta biasiswa 50 peratus ke Malaysia Grand Prix 2027, manakala Jasmine Al Adawiyyah turut meraih Emas berserta biasiswa 25 peratus ke acara yang sama.

Teacher Ping sekali lagi menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan Outstanding Teacher Award bagi kategori Senior Lyrical pada AODC.

IAF anjuran Singapore Dance Alliance terbuka kepada penari dari semua negara berusia lima tahun ke atas, manakala AODC menghimpunkan penari dari seluruh Asia.

Cynthia Lee (tengah) bersama Teacher Ping (kiri) dan Yolanda Chong (kanan). Foto ihsan YDS

LEAVE A RESPONSE