Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

PESAWI ke-13 himpun kira-kira 500 peserta lima kontinjen wilayah

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Kira-kira 500 peserta daripada lima kontinjen wilayah menyertai Pesta Sukan Antara Wilayah (PESAWI) ke-13 Kumpulan Yayasan Sabah 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tun Adnan, di sini.

Lima kontinjen terbabit ialah Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan/Kota Marudu, Lahad Datu serta Keningau/Beaufort yang akan bersaing dalam sembilan acara sukan.

Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Datuk Seri Dr Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar berkata, penyertaan warga kerja dari pelbagai wilayah itu menjadikan PESAWI sebagai platform penting untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh semangat kekitaan dalam organisasi.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek kecergasan fizikal, malah menggalakkan semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan persaingan secara sihat.

“PESAWI memainkan peranan penting dalam membudayakan gaya hidup aktif dan seimbang.

“Hubungan kerja yang baik bukan sahaja terbina melalui urusan rasmi di pejabat, tetapi turut diperkukuh melalui aktiviti interaktif dan kerja berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan PESAWI ke-13 di Kompleks Sukan Tun Adnan, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, penglibatan warga kerja dalam aktiviti sukan turut menyumbang kepada kecergasan mental, peningkatan produktiviti serta kesejahteraan warga organisasi.

Katanya, PESAWI juga menyediakan ruang untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat sukan dalam kalangan warga Kumpulan Yayasan Sabah yang berpotensi untuk dikembangkan.

Beliau berkata, penyertaan yang melibatkan warga kerja dari ibu pejabat, pejabat zon dan pejabat wilayah turut memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi dalam suasana yang berbeza daripada urusan kerja harian.

“Semangat kesukanan yang dipupuk melalui kejohanan seperti ini dapat diterjemahkan kepada kerjasama yang lebih baik dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

LEAVE A RESPONSE