Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Industri tembakau Ranau catat pendapatan penanam hampir RM2 juta setahun

Read Time:1 Minute, 49 Second

RANAU: Industri penanaman tembakau di daerah ini terus memberi sumbangan kepada ekonomi tempatan apabila kira-kira 118 pekebun tempatan kini mengusahakan tanaman berkenaan di kawasan seluas 44.5 hektar.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata hasil tanaman tembakau di Ranau merangkumi tembakau hiris dan cerut yang dibeli oleh pemborong tempatan sebelum dipasarkan ke seluruh Sabah.

Beliau berkata, kegiatan berkenaan kini mampu menjana pendapatan hampir RM2 juta setahun kepada penanam tembakau di daerah itu.

“Saya dimaklumkan oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bahawa di daerah Ranau terdapat kira-kira 44.5 hektar kawasan penanaman tembakau yang diusahakan oleh 118 orang pekebun tempatan pada masa ini.

“Produk yang dikeluarkan adalah tembakau hiris dan cerut. Hasil pengeluaran ini dibeli oleh pemborong tempatan sebelum dipasarkan ke seluruh negeri Sabah dengan nilai pendapatan penanam mencecah hampir RM2 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan kerja ke kawasan tanaman tembakau di Kampung Lipasu Baharu, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, potensi industri tembakau di Ranau masih besar sekiranya diurus dengan baik, khususnya melalui peningkatan kualiti hasil, penggunaan teknologi penanaman moden serta pengembangan rangkaian pasaran.

Katanya, usaha berterusan dalam aspek berkenaan penting bagi memastikan sektor penanaman tembakau mampu memberi pulangan yang menguntungkan kepada pengusaha tempatan.

“Saya berharap industri penanaman tembakau di daerah Ranau akan terus berkembang maju, memberi pulangan yang menguntungkan kepada para pengusaha dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Noraini berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan dan komuniti setempat juga penting bagi memastikan pembangunan sektor pertanian berasaskan komoditi di Sabah dapat dilaksanakan secara berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata walaupun kawal selia penanaman, pengeluaran dan pemasaran tembakau di Sabah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPKM) sentiasa terbuka untuk berkongsi kepakaran teknikal, penyelidikan serta pembangunan industri.

Katanya, KPKM melalui agensi berkaitan turut kekal komited memberikan khidmat nasihat dan memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang berkaitan tembakau.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan pembangunan industri dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan pengusaha tempatan serta dasar dan komitmen kerajaan berkaitan sektor tembakau.

“Semoga dengan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan serta komuniti setempat, kita mampu menjadikan Ranau sebagai contoh kejayaan pembangunan pertanian berasaskan komoditi di Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE