Read Time:2 Minute, 37 Second
TAMPARULI: Inisiatif Kantin Sifar Sisa yang dilaksanakan sejak 2024 membawa kejayaan berganda kepada SJK (C) Chung Hwa Tamparuli apabila sekolah itu meraih dua pengiktirafan dalam dua program berbeza baru-baru ini.
Sekolah itu menerima Anugerah Emas dalam Perkongsian Amalan Terbaik Sekolah sempena Kolokium Pendidikan Guru 3.0 Peringkat Kebangsaan pada 8 Oktober lalu.
Kejayaan itu disusuli apabila sekolah berkenaan dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Program From Children to Children 2026 sempena Sustainable Action Conference 4.0 anjuran Control Union Malaysia pada 21 Oktober lalu.
Kedua-dua pengiktirafan itu dicapai menerusi inisiatif yang memberi peluang kepada murid mempelajari pengurusan sisa dan membudayakan amalan lestari di sekolah.
Berteraskan konsep 5R, inisiatif berkenaan melibatkan pelbagai aktiviti termasuk pengasingan sisa, penghasilan kompos dan baja bokashi, pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai, kitar semula serta penghasilan produk kreatif.
Guru-guru turut membimbing murid mengurangkan penggunaan bahan sekali guna dan mengamalkan budaya membawa bekas makanan sendiri.
Selain mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, baja organik yang dihasilkan digunakan di kebun sayur sekolah, manakala hasil jualan bahan kitar semula menyokong kesinambungan projek hijau berkenaan.
Inisiatif itu dilaksanakan di bawah pimpinan dan dorongan Guru Besar, Koh Chin Leung, dengan kerjasama serta sokongan penuh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Lee Yen Loo dan guru, Dk Siti Nur Aqilah Tahir.
Pelaksanaannya turut didukung kerjasama erat barisan pentadbir, komitmen guru serta penglibatan aktif murid.

Bagi pengiktirafan pertama, Koh bersama Lee dan Nur Aqilah membentangkan amalan terbaik bertajuk “Dari Sisa Kepada Nilai: Inisiatif Kantin Sifar Sisa SJK (C) Chung Hwa Tamparuli” pada kolokium anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran di Hotel Courtyard, Kota Kinabalu.
Sementara itu, kejayaan sebagai Juara Keseluruhan Program From Children to Children 2026 diraih pada persidangan yang berlangsung di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.
Sebelum dinobatkan sebagai juara, sekolah itu terpilih sebagai satu daripada enam sekolah finalis dan menerima geran RM5,000 bagi memperkukuh pelaksanaan projek Kantin Sifar Sisa.
Kemenangan tersebut turut melayakkan sekolah menerima geran tambahan RM10,000 bagi memperluas inisiatif berkenaan ke SJK (C) Hwa Shiong, Putatan dan SK Serusup, Tuaran melalui projek “From Me To You: Adopt-a-Canteen”.
Menerusi projek berkenaan, murid SJK (C) Chung Hwa Tamparuli akan berperanan sebagai Duta Sifar Sisa (Zero-Waste Ambassadors) untuk berkongsi pengetahuan dan membimbing rakan sebaya di kedua-dua sekolah dalam melaksanakan amalan pengurusan sisa.
Antara usaha yang dirancang termasuk memperkenalkan program Bring Your Own Container (BYOC), mewujudkan stesen pengasingan sisa dan melatih Eco-Ambassadors dalam kalangan murid sekolah penerima.
Pada majlis pengumuman juara itu, wakil murid, Karl Isaac Elwin Rowell Gadaun, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian sekolah serta komitmen untuk memperluas amalan sifar sisa.
“Together, we can make every school a Zero Waste School,” katanya.
Turut mewakili sekolah dalam majlis tersebut ialah Koh, Lee, Nur Aqilah serta empat murid, iaitu Hazell Lee, Kelly Eva Kasim, Essien Eden Joe Karin Davendron dan Valen Chua Jia Ni.
Dalam pada itu, Koh menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kantin Sifar Sisa yang menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman untuk memupuk kesedaran, tanggungjawab dan kepimpinan murid dalam menjaga alam sekitar.
Beliau turut berharap agar pengiktirafan yang diterima dapat menjadi pemangkin untuk memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan warga sekolah serta menggalakkan perkongsian amalan terbaik dengan sekolah lain.






