Read Time:1 Minute, 4 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pemandu e-hailing dihukum penjara 48 bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencabul anak kandungnya yang berusia 19 tahun.
Lelaki berusia 44 tahun itu dijatuhi hukuman berkenaan oleh Majistret Marilyn Kelvin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 30 April lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap anak kandungnya dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di sebuah bilik sewa di Inanam, kira-kira jam 1 petang pada 27 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, ketika kejadian tertuduh antara lain berkata kepada mangsa, “janganlah rimas” dan “bapa halal untuk kakak”.
Walaupun tiada saksi melihat kejadian itu, mangsa yang berasa jijik dengan perbuatan tertuduh kemudian keluar dari bilik sewa berkenaan untuk mendapatkan perlindungan sebelum membuat laporan polis terhadap bapa kandungnya.
Fakta kes turut menyatakan kejadian sama pernah berlaku di Kunak pada 2025 dan diketahui ibu mangsa, namun perkara itu didiamkan selepas dipujuk tertuduh. Mangsa turut mendakwa tertuduh sering menggunakan agama sebagai alasan untuk memujuk ibunya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.





