Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Tiga pegawai perubatan floater ditempatkan di Hospital Ranau secara berperingkat

Read Time:1 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKN Sabah) akan menempatkan tiga Pegawai Perubatan ‘floater’ di Hospital Ranau secara berperingkat bermula 28 Oktober dan 11 November ini bagi membantu menangani kekurangan tenaga perubatan di hospital berkenaan.

JKN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu dilaksanakan sebagai penyelesaian interim susulan kekurangan pegawai perubatan di Hospital Ranau yang kini hanya mempunyai sembilan pegawai, termasuk pengarah hospital.

Menurut kenyataan itu, penempatan tiga pegawai perubatan berkenaan merupakan langkah segera bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan rawatan utama di hospital itu terus berjalan sepanjang tempoh penyelarasan perjawatan.

“Isu kekurangan pegawai perubatan di Hospital Ranau berlaku susulan pelaksanaan Urusan Lantikan Tetap Fasa 2 pada 28 September lalu, yang menyaksikan 11 daripada 19 pegawai perubatan sedia ada berpindah keluar.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengenal pasti tujuh pegawai pengganti dari luar Sabah, namun hanya seorang melapor diri.

“Mobilisasi dalaman sukar dilaksanakan buat masa ini kerana kebanyakan fasiliti di negeri Sabah menghadapi masalah yang sama,” menurut kenyataan JKN Sabah, di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, KKM akan melaksanakan urusan pelantikan khas secara tetap bagi jawatan Pegawai Perubatan Gred UD10 khusus untuk memenuhi keperluan penempatan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak.

Pengisian jawatan serta pelaporan diri pegawai perubatan menerusi urusan pelantikan khas itu dijangka bermula seawal Februari 2027.

JKN Sabah berkata, pihaknya akan terus komited memastikan perkhidmatan rawatan utama tidak terjejas, selain proaktif mencari penyelesaian praktikal bagi mengatasi kekurangan pegawai perubatan di negeri ini.

LEAVE A RESPONSE