Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pukat ‘hantu’, sisa plastik beri kesan terhadap hidupan marin di perairan Sabah


Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Ancaman ‘pukat hantu’ atau ‘ghost net’ serta pencemaran sisa plastik terus memberi kesan serius terhadap hidupan marin di perairan negeri ini, sekali gus menuntut tindakan berterusan daripada semua pihak.

Pengarah Program Kelab Selam Skuba Sabah, Yong Lip Khiong berkata, pukat yang ditinggalkan akibat aktiviti penangkapan ikan tidak bertanggungjawab menjadi antara punca utama kemusnahan ekosistem marin.

Beliau berkata, pukat itu bukan sahaja memerangkap hidupan laut seperti penyu dan ikan, malah turut merosakkan struktur terumbu karang yang menjadi habitat penting kepada pelbagai spesies.

Perkara itu dinyatakan dalam program Borneo Ultra Ocean Clean-Up (BUOC) 5.0 yang berlangsung semalam, apabila peserta berjaya mengeluarkan pelbagai jenis sisa dari dasar laut.

Dalam program itu, seramai 14 ahli kelab berjaya mengumpulkan kira-kira 78 kilogram sisa termasuk botol plastik, tin aluminium dan jaring terbiar.

Beliau yang turut menyertai selaman berkata, pasukannya menyelam sehingga kedalaman 12 meter selama lebih sejam bagi mengeluarkan sebahagian pukat sepanjang kira-kira 100 meter di dasar laut sekitar Kota Kinabalu.

Sementara itu, seorang lagi penyelam, Mohd Saiful Md Saad berkata, pencemaran plastik turut memberi kesan besar apabila hidupan marin sering tersalah anggap bahan tersebut sebagai makanan.

“Kes penyu mati akibat termakan plastik yang disangka obor-obor semakin membimbangkan dan menunjukkan tahap pencemaran yang serius,” katanya.

Program BUOC 5.0 merupakan edisi kelima anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) sempena sambutan Hari TLDM ke-92.

Seramai 126 penyelam skuba daripada pelbagai agensi termasuk TLDM, Tentera Darat Malaysia, Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia terlibat dalam operasi tersebut.

Turut mengambil bahagian ialah penyelam bertauliah daripada Universiti Malaysia Sabah dan Taman-Taman Sabah.

Penganjuran program seumpama ini dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat serta menggalakkan kerjasama pelbagai pihak bagi memelihara kelestarian alam sekitar marin negara.

LEAVE A RESPONSE