Read Time:1 Minute, 9 Second
KOTA KINABALU: Sabah FC memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila menewaskan Terengganu FC 2-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas, di sini, petang tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Sang Badak mengutip tiga mata penuh hasil jaringan Enrique Lopez Fernandez dan Gonzalo Ignacio Di Renzo dalam tempoh lima minit pada babak pertama.
Fernandez membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan Terengganu, sebelum Di Renzo menggandakan kelebihan tuan rumah lima minit kemudian.
Dua jaringan awal itu meletakkan Sabah dalam kedudukan selesa untuk mengawal permainan, meskipun keadaan padang yang licin akibat hujan berterusan menyukarkan pergerakan pemain kedua-dua pasukan.
Terengganu turut berdepan cabaran apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Romel Oswaldo Morales dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama susulan insiden kekasaran terhadap beberapa pemain Sabah.
Keputusan itu dibuat selepas pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah merujuk bantuan video pengadil (VAR).
Bersambung babak kedua, Sabah mempunyai beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun gagal menyempurnakan peluang yang terhidang.
Terengganu pula cuba bangkit dengan pendekatan lebih agresif meskipun kekurangan seorang pemain, namun gagal menghasilkan sebarang jaringan sehingga perlawanan berakhir.
Perlawanan yang dijadualkan bermula jam 5 petang itu hanya berlangsung kira-kira 30 minit kemudian berikutan hujan lebat di Kota Kinabalu.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat permainan, membolehkan Sabah FC memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super, manakala Terengganu pulang tanpa sebarang mata. – SABAH MEDIA / FOTO MFL





