Read Time:3 Minute, 39 Second
KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia Cawangan Sabah (MMA Sabah) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera menghantar doktor tambahan dari Semenanjung Malaysia bagi mengatasi kekurangan pegawai perubatan yang kritikal di Hospital Ranau dan fasiliti kesihatan lain di Sabah.
Pengerusinya, Dr Brandon Patrick Senagang berkata, langkah segera itu diperlukan bagi mengurangkan beban tugas doktor yang terus memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan walaupun berdepan kekurangan tenaga kerja.
Beliau berkata, laporan CodeBlue mengenai doktor yang terpaksa bekerja selama 48 hingga 72 jam berturut-turut tanpa rehat mencukupi amat membimbangkan.
“Di sebalik laporan ini, terdapat doktor yang menanggung beban fizikal dan emosi yang besar ketika berusaha memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.
“Dedikasi mereka wajar dihargai, namun perlu disertai dengan sokongan dan bantuan segera.
“Kita tidak boleh membiarkan pengorbanan luar biasa ini menjadi amalan biasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terus beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Brandon berkata, keadaan serius itu turut disahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang melaporkan 11 daripada 19 pegawai perubatan Hospital Ranau dipindahkan susulan urusan pelantikan tetap baru-baru ini.
Bagaimanapun, hanya seorang daripada tujuh pegawai perubatan pengganti dari luar Sabah melaporkan diri untuk bertugas, menyebabkan hospital berkenaan kini beroperasi dengan sembilan doktor termasuk pengarahnya.
Katanya, krisis kekurangan tenaga kerja itu bukan hanya berlaku di Ranau apabila JKNS turut melaporkan anggaran kekurangan 245 pegawai perubatan di seluruh Sabah susulan urusan berkenaan.
Selain itu, sebanyak 67 peratus calon pengganti dari luar Sabah tidak melaporkan diri untuk bertugas.
“Keadaan di Ranau merupakan sebahagian daripada krisis kekurangan tenaga kerja perubatan yang lebih meluas di Sabah,” katanya.
Brandon berkata, MMA Sabah sebelum ini berulang kali membangkitkan kebimbangan mengenai pegawai perubatan yang meninggalkan perkhidmatan tanpa pengganti mencukupi.
Menurutnya, setiap kekosongan yang tidak diisi meningkatkan beban kerja dan tugas atas panggilan doktor yang masih berkhidmat, sekali gus menyebabkan keletihan, tekanan kerja dan risiko lebih ramai meninggalkan perkhidmatan.
Beliau berkata, MMA Sabah turut menerima laporan daripada doktor di hospital lain di Sabah mengenai waktu bekerja yang panjang dan tugas atas panggilan yang semakin kerap, sehingga ada yang mempertimbangkan untuk meninggalkan perkhidmatan.
Dalam pada itu, beliau menghargai usaha JKNS menempatkan tiga pegawai perubatan tambahan ke Hospital Ranau secara berperingkat sebagai langkah sementara.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu perlu mendapat sokongan di peringkat nasional memandangkan banyak fasiliti kesihatan di Sabah turut mengalami kekurangan doktor.
Sehubungan itu, Brandon menggesa KKM melaksanakan program penempatan sementara doktor dari Semenanjung Malaysia secara segera dan terselaras, dengan memberi keutamaan kepada fasiliti yang mengalami kekurangan tenaga kerja paling kritikal serta beban kerja tinggi.
Katanya, penempatan itu perlu mempunyai tempoh giliran yang jelas, pembiayaan perjalanan dan penginapan serta sokongan operasi mencukupi.
“Matlamat utama adalah memastikan doktor mendapat rehat yang munasabah, mengurangkan tugas berturut-turut yang berlebihan dan mengelakkan keadaan tenaga kerja sedia ada menjadi semakin buruk,” katanya.
Sementara itu, Brandon menyambut baik pengumuman KKM mengenai pengambilan khas bagi mengisi 750 kekosongan jawatan tetap pegawai perubatan di Sabah dan Sarawak.
Namun, katanya, tarikh melaporkan diri yang dicadangkan pada 15 Februari 2027 masih lebih tiga bulan lagi.
“Doktor dan pesakit kita tidak boleh hanya menunggu sehingga Februari untuk mendapatkan bantuan.
“Tindakan segera bagi menangani kekurangan tenaga kerja mesti dilaksanakan seiring dengan proses pengambilan tetap itu,” katanya.
Beliau berkata, kadar pelaporan diri yang rendah baru-baru ini turut menunjukkan keperluan memperbaiki keadaan perkhidmatan bagi menarik dan mengekalkan doktor yang ditempatkan di Sabah.
Tanpa penambahbaikan bermakna, katanya, pengambilan baharu itu berisiko menghadapi kesukaran sama dalam menarik dan mengekalkan doktor.
Antara penambahbaikan yang diperlukan ialah mengembalikan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan, menyediakan insentif lebih baik bagi perkhidmatan di Malaysia Timur dan kawasan luar bandar serta bantuan awal perpindahan yang mencukupi.
Selain itu, doktor juga memerlukan penginapan kakitangan yang selamat, infrastruktur asas yang boleh dipercayai, tempoh penempatan yang jelas, urusan pertukaran yang telus serta peluang perkembangan kerjaya.
Brandon berkata, penyelesaian masalah itu memerlukan kerjasama KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kerajaan Negeri Sabah.
Katanya, KKM perlu menyelaraskan bantuan tenaga kerja segera, manakala JPA dan MOF perlu menyediakan pengaturan perkhidmatan, insentif serta pembiayaan yang diperlukan.
Kerajaan Negeri pula boleh membantu melalui elaun tambahan, kemudahan penginapan dan sokongan praktikal kepada doktor yang berkhidmat di Sabah.
Beliau berkata, MMA Sabah bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kebajikan doktor terpelihara dan pesakit terus menerima rawatan yang diperlukan.
“Kita perlu menjadikan Sabah lebih menarik untuk doktor datang berkhidmat, lebih mampan untuk mereka kekal dan membolehkan doktor sedia ada terus bertugas tanpa mengorbankan kesihatan mereka.
“Doktor kita memerlukan bantuan sekarang. Pesakit kita memerlukan tindakan segera,” katanya.





