Read Time:1 Minute, 29 Second
KOTA KINABALU: Belanjawan Negara 2027 disifatkan sebagai belanjawan komprehensif yang mampu meringankan beban kewangan rakyat selain mencerminkan kedudukan ekonomi negara yang kukuh.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, belanjawan itu memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya melihat belanjawan ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan semua lapisan masyarakat.
“Ia juga membuktikan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara kita, walaupun berdepan dengan kesan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan Negara 2027 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Ketika membentangkan belanjawan itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sabah kekal sebagai penerima peruntukan Persekutuan terbesar dengan jumlah RM18.6 bilion bagi tahun depan.
Peruntukan itu meningkat 6.25 peratus berbanding RM17.6 bilion yang disediakan pada tahun ini.
Anwar turut mengumumkan peruntukan RM3.3 bilion bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, kerajaan bersetuju menggandakan jumlah tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar dari Sabah dan Sarawak, sekali gus membuka peluang kepada 4,200 pelajar dari kedua-dua negeri itu untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Dalam usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik di Sabah, kerajaan turut bersetuju melaksanakan pemasangan sistem Static Synchronous Compensator (STATCOM) di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.
Projek Talian Penghantaran Southern Link juga akan diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik di negeri ini.
Turut menyaksikan siaran langsung pembentangan belanjawan itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; pembantu-pembantu menteri serta pegawai kanan kerajaan negeri.





