Read Time:1 Minute, 34 Second
KUALA LUMPUR : Sebanyak 19 pakej Pan Borneo Sabah memulakan kerja sebelum laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar atau EIA diluluskan, menurut LKAN 2/2026.
Dapatan melibatkan lima pakej Fasa 1A dan 14 pakej Fasa 1B. Bagi pakej yang kemudian memperoleh kelulusan, kerja bermula antara 28 hingga 550 hari lebih awal.
Audit turut mendapati permohonan EIA bagi lapan pakej hanya dikemukakan selepas kerja dimulakan.
WP33 memulakan kerja pada 26 November 2024, sedangkan kelulusannya masih belum diperoleh ketika lawatan susulan Audit pada 7 Mei 2026.
Kompaun dikenakan terhadap kontraktor WP31, WP32 dan WP33. Audit menyatakan tiada tindakan terhadap baki 16 pakej ketika semakan berkenaan.
Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah memaklumkan tindakan perundangan akan diambil setelah menerima aduan awam dan laporan perunding berkaitan.
Jabatan turut menjelaskan tempoh pemprosesannya ialah 21 hingga 88 hari, tidak termasuk masa perunding melengkapkan dokumen.
Audit menyatakan ketidakpatuhan tersebut mendedahkan projek kepada risiko keselamatan dan perundangan.
Audit juga mendapati Sistem Pemantauan Pan Borneo RM28.53 Juta Tidak Berkesan, 77,299 Fail Hilang
Sistem Maklumat Projek Pan Borneo Sabah bernilai RM28.53 juta tidak digunakan secara berkesan, dengan Audit turut merekodkan kehilangan 77,299 fail pada 29 Disember 2023.
Menurut LKAN 2/2026, kehilangan berlaku akibat kerosakan serius perkakasan. Pemulihan daripada pita sandaran gagal, manakala sandaran itu tidak pernah diuji sebelum insiden.
Audit mendapati penggunaan sistem tidak menyeluruh, data tidak lengkap dan pelaporan masih bergantung kepada kaedah manual.
Sehingga 10 Disember 2025, 21 daripada 57 akaun pengguna JKR Sabah dan tujuh daripada 10 akaun KKR tidak pernah log masuk.
KKR kemudian memaklumkan kesemua 324 fail WP05 telah dimuat naik semula pada 7 November 2025.
Bagi WP02, sebanyak 4,294 fail atau 67.4 peratus dipulihkan setakat laporan 10 Mac 2026, manakala baki 2,080 fail masih melalui pemulihan dan pengesahan.
KKR turut memaklumkan ujian pemulihan sandaran dilaksanakan pada Ogos hingga September 2025.
Namun, laporan merekodkan kerosakan peralatan pita sandaran berikutnya pada Disember 2025.





