Read Time:1 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU: Geran padanan bagi penerbangan antarabangsa dan penerbangan sewa khas yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 berpotensi membuka lebih banyak laluan udara baharu ke Sabah, sekali gus memperluas pasaran pelancongan negeri.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, peningkatan kesalinghubungan udara amat penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Katanya, insentif berkenaan mampu membantu meningkatkan akses Sabah ke pasaran berpotensi tinggi, khususnya dari China, India, Asia Tengah dan Eropah.
“Kesalinghubungan udara yang lebih baik amat penting bagi meningkatkan daya saing Sabah sebagai destinasi antarabangsa, di samping membuka peluang kepada industri pelancongan tempatan.
“Ini juga dapat membantu meningkatkan ketibaan pelancong, menggalakkan tempoh penginapan lebih panjang serta memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri dan masyarakat tempatan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Jafry berkata, langkah memperluas jaringan penerbangan antarabangsa juga amat bertepatan dengan persiapan Sabah menjelang Visit Sabah 2027.
Menurutnya, peningkatan kapasiti dan pilihan penerbangan bukan sahaja memudahkan pelancong datang ke Sabah, malah membolehkan penggiat industri merancang pakej pelancongan yang menyasarkan pasaran baharu.
Katanya, usaha menarik penerbangan sewa khas juga boleh membantu mempelbagaikan sumber pasaran pelancongan Sabah dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran sedia ada.
“KePKAS akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi Persekutuan bagi memanfaatkan inisiatif Belanjawan 2027 untuk memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang berdaya saing dan mampan,” katanya.





