Read Time:1 Minute, 56 Second
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyambut baik peruntukan dan inisiatif di bawah Belanjawan 2027 yang memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup, memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan perlindungan pengguna.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan kerajaan akan memperkukuh usaha KPDN dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan, selain membendung ketirisan dan meningkatkan kesejahteraan pengguna.
Beliau berkata, antara inisiatif utama berkaitan KPDN ialah peruntukan RM750 juta bagi penganjuran 30,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dan 5,000 siri Jualan Agro MADANI di seluruh negara.
Menurutnya, pelaksanaan PJRM akan diperluas dengan memberi tumpuan kepada kawasan desa, perumahan kos rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bandar, selain membantu peniaga kecil.
“Kerajaan turut memperuntukkan RM250 juta bagi memperluas pengedaran barangan asas ke kawasan pedesaan dan pedalaman, termasuk penambahan enam lokasi baharu seperti Kampung Terian, Penampang, Sabah dan Kampung Dato’ Gudam, Pusa, Sarawak.
“Selain itu, RM10 juta diperuntukkan bagi meneruskan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA), dengan tumpuan membawa produk desa dan perkhidmatan bernilai tinggi ke platform digital serta pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media berhubung Belanjawan 2027, hari ini.
Armizan berkata, peruntukan RM1.1 bilion bagi memperkukuh keupayaan operasi badan penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), turut menyokong usaha meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Belanjawan 2027 juga memperkenalkan potongan cukai kepada penyumbang makanan dan peralatan bagi inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
“Dalam pada itu, usaha memperkukuh industri kreatif tempatan akan diteruskan menerusi pembangunan 20 harta intelek animasi baharu serta pengkomersialan watak Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kerajaan turut merancang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian, sekali gus melindungi kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Menurut Armizan, KPDN komited memastikan pelaksanaan peruntukan dan inisiatif berkenaan dapat memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
“KPDN menyambut baik peruntukan dan inisiatif ini bagi memperkukuh usaha menangani kos sara hidup, membendung ketirisan melalui penguatkuasaan yang lebih berkesan serta memperkasa perlindungan pengguna.
“Bersama seluruh warga KPDN, saya komited memastikan pelaksanaannya membawa manfaat nyata kepada rakyat dan meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka,” katanya.





